2,000 penduduk berdepan bahaya lereng jalan utama runtuh
2,000 penduduk berdepan bahaya lereng jalan utama runtuh
JERANTUT – Kira-kira 2,000 penduduk di dua taman perumahan di sini berdepan bahaya ketika berselisih dengan kenderaan berat di jalan masuk utama ke taman itu yang semakin sempit akibat lereng jalan itu runtuh.
Penduduk dua taman itu, Taman Saujana Putra dan Taman Saujana Utama menghadapi keadaan itu sejak dua tahun lalu ketika buat kali pertama lereng jalan masuk itu runtuh yang boleh meragut nyawa pengguna laluan berkenaan.
Seorang penduduk Taman Saujana Putra, Rosmadi Sulaiman (60) berkata, ketika melalui jalan itu perasaan ngeri menjelma terutama ketika kenderaan dari taman itu yang keluar ke jalan besar dan berselisih pula dengan kenderaan besar yang masuk ke stesen minyak di situ.
“Saya pernah menghadapi keadaan itu dan ketika saya berhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan besar sebelah kanan, saya bimbang lereng bercuram pada ketinggian kira-kira 10 meter akan runtuh .
“Keadaan ini menimbulkan penduduk di situ tidak selesa dan takut kerana perkara yang tidak dijangka akan berlaku dan boleh meragut nyawa, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh, ” katanya.
Katanya, melihat keadaan masa ini, kejadian runtuhan tebing itu akan terus berlaku kerana hujan lebat menghakis lereng jalan yang runtuh ini dan penduduk akan berdepan bahaya setiap kali melalui jalan itu dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud yang turut melawat kawasan lereng bukit jalan tersebut berkata, kejadian lereng jalan yang runtuh itu berlaku sejak tahun 2022.
“Usaha membaikpulih jalan ini masih tiada nampak jalan penyelesaian, diharap perlu perlu diberi keutamaan, jangan berlaku ada kemalangan yang meragut nyawa dan kecederaan teruk baharu nak bertindak.
“Usaha membaikpulih lereng bukit setinggi kira-kira 10 meter (30 kaki) tersebut amat penting demi keselamatan orang ramai yang setiap hari keluar masuk ke taman perumahan dan premis berdekatan situ dan diharap kedua-dua pihak pemaju dua taman perumahan di sini jangan lepas tangan” katanya.- SAHIH.