1,100 CALON SPM PAHANG TERIMA KOMPUTER RIBA PERCUMA
1,100 CALON SPM PAHANG TERIMA KOMPUTER RIBA PERCUMA
KUANTAN : Seramai 1,100 pelajar golongan B40 di Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menerima komputer riba secara percuma.
Bantuan tersebut bagi memudahkan pelajar memperoleh ilmu menerusi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara maya, dalam norma baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi memberikan bantuan komputer riba tersebut.
Katanya, 824 orang daripadanya merupakan anak kepada penerima bantuan Jabatan Kebajuikan Masyarakat (JKM) manakala 276 orang lagi merupakan pelajar asnaf yang tidak menerima bantuan JKM.
Gambar Hiasan daripada Google.
” Itu daripada pihak kerajaan negeri, di bawah persekutuan pula, Jabatan Pendidikan Pahang terlibat dalam memastikan pembekalan 11,052 unit peranti digital murid B-40 melalui inisiatif CERDIK, diberikan kepada 132 buah sekolah.
“Sehingga Julai lalu, sebanyak 6,141 unit alat peranti digital telah diagihkan kepada sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.
“Bakinya akan diperoleh secara berperingkat.
“Ia bagi membolehkan murid yang layak mendapat akses internet yang lebih baik,” katanya bagi menjawab soalan daripada Adun Bilut, Lee Chin Chen dalam Sidang DUN Pahang, hari ini.
Sementara itu katanya, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM 23 juta kepada mereka yang terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19 bermula fasa satu sehingga fasa tiga.
Antaranya bantuan one-off kepada 2,169 penerima JKM berusia 80 tahun ke atas, 20,757 golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan 13,154 pelajar OKU serta 1,279 orang pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Tidak terkecuali, 11,099 peniaga dan pejaja kecil, 824 pemandu teksi, 6,133 pekerja khidmat penghantaran serta 1,209 pemandu dan penunggang e-hailing.-SAHIH.