MUN YEE SEDIA UNTUK OLIMPIK TOKYO
MUN YEE SEDIA UNTUK OLIMPIK TOKYO
KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara, Leong Mun Yee lega apabila Sukan Olimpik Tokyo akan diteruskan mengikut jadual pada Julai ini biar pun pandemik COVID-19 masih melanda seluruh dunia.
Kebanyakan atlet sudah melakukan persiapan yang lama untuk beraksi pada temasya terbesar dunia itu.
LEONG MUN YEE
“Bulan depan sepatutnya ada Siri Terjun Dunia bermula di Zhuhai (26 hingga 28 Februari), Xi’an (5 Mac hingga 7 Mac), Kazan, Russia (19 hingga 21 Mac) dan Montreal, Kanada (26 hingga 28 Mac) tetapi dengan keadaan sekarang (peningkatan kes COVID-19) tidak pasti kami boleh sertainya atau tidak.
“Sukan Olimpik pula akan berlangsung pada Julai dan masih ada setengah tahun lagi. Diharapkan pada waktu itu nanti, keadaan sudah okey,” katanya yang sudah melayakkan diri ke Tokyo dalam acara 10 meter platform seirama bersama gandingannya, Pandelela Rinong.
Kelmarin, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyuarakan keyakinan Sukan Olimpik Tokyo akan tetap berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Keyakinan itu hadir selepas satu perbincangan menerusi maya diadakan bersama Presiden Jawantankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomac Bach dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Jepun, Yamashita Yusihoro pada Jumaat lalu, lapor BH Online.
Sementara itu, atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Affendy percaya tuan rumah akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) terbaik bagi menjamin keselamatan dan kesihatan kontinjen yang bertanding.
KHAIRULNIZAM MOHD AFFENDY
“Kalau mereka boleh beri jaminan itu, saya fikir tiada masalah untuk meneruskan Sukan Olimpik.
“Lagipun, kami sekarang memang menjalani latihan dalam keadaan yang sukar dengan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
“Saya percaya atlet boleh sesuaikan diri untuk bertanding dengan kebiasaan yang baharu,” katanya yang layak ke Sukan Olimpik bagi kelas laser standard.