Tiga polis bantuan ditempatkan di sekolah susulan guru diserang pelajar
Tiga polis bantuan ditempatkan di sekolah susulan guru diserang pelajar
KUCHING: Tiga anggota polis bantuan ditempatkan di Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP (TPH) di sini, susulan kejadian seorang guru cedera diserang pelajar lelaki Tingkatan Empat, Rabu lalu.
Pengurusan sekolah itu memaklumkan langkah keselamatan turut diperketatkan termasuk melaksanakan pemeriksaan terhadap individu yang memasuki kawasan sekolah berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan itu, pihak sekolah sudah menyemak semula protokol keselamatan sedia ada dengan kerjasama pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan kakitangan sentiasa terjamin.
“Walaupun langkah keselamatan sedia ada masih dikekalkan, TPH sudah menyemak protokol keselamatan dan mempertingkatkan kawalan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
“Tiga anggota polis bantuan akan ditempatkan di kawasan sekolah dan pemeriksaan keselamatan dilaksanakan terhadap individu yang memasuki kampus,” menurut kenyataan itu.
Pihak sekolah turut meneliti langkah keselamatan jangka panjang yang lebih menyeluruh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Selain itu, pihak pengurusan akan mengadakan perhimpunan bersama pelajar bagi memberikan penjelasan berhubung kejadian terbabit serta menyediakan khidmat kaunseling kepada mereka yang memerlukan.
Sekolah berkenaan kembali beroperasi pada Khamis selepas mendapat pelepasan pihak berkuasa, susulan penutupan awal pada Rabu atas nasihat polis.
Mengulas keadaan mangsa, pihak sekolah memaklumkan guru terbabit yang dibawa ke hospital menggunakan ambulans semakin pulih dan tidak mengalami kecederaan kritikal.
Pihak sekolah turut mengesahkan pelajar yang disyaki terbabit dalam kejadian itu bukan lagi pelajar aktif institusi berkenaan.
Terdahulu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak mengesahkan penahanan pelajar lelaki Tingkatan Empat berhubung kejadian itu.
Polis turut merampas sebilah pisau lipat dan kapak kecil bagi membantu siasatan.
Pelajar terbabit dibebaskan dengan jaminan polis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.-SAHIH
#GuruDiserang #KeselamatanSekolah #Kuching #PolisSarawak
