Muafakat Jemaah Menteri kukuhkan kestabilan negara – Anwar
Muafakat Jemaah Menteri kukuhkan kestabilan negara – Anwar
PUTRAJAYA: Kerjasama dan muafakat dalam Jemaah Menteri menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kestabilan politik, sekali gus membolehkan kerajaan merancang serta melaksanakan agenda pembangunan negara dengan lebih tersusun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan itu turut disokong dasar kerajaan yang jelas serta hubungan kerja yang baik dalam kalangan anggota pentadbiran.
Menurutnya, walaupun terdapat perbezaan pandangan yang kadangkala dipaparkan menerusi media sosial, kerjasama dalam Jemaah Menteri secara keseluruhannya berada pada tahap baik.
“Betul, tidak dapat dinafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar jelas, politiknya stabil, kerjasama yang ada dalam Jemaah Menteri walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.
“Tetapi dari segi kerjasama, umumnya kita, muafakat kita sangat baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan membolehkan kita rencanakan untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Selasa.
Anwar pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian semasa atau ‘dilamun dengan rasa enak dan senang kejayaan’.
Sebaliknya, katanya, pencapaian itu perlu dijadikan dorongan untuk kerajaan terus meningkatkan prestasi dan bekerja lebih keras demi kepentingan rakyat serta negara.
Menurutnya, prestasi ekonomi pada suku kedua tahun ini turut menunjukkan pencapaian lebih baik daripada jangkaan meskipun negara berdepan pelbagai cabaran.
Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi enam peratus pada suku kedua 2026 berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.
Prestasi itu merupakan pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014.
Pencapaian berkenaan turut menjadikan pertumbuhan ekonomi bagi separuh pertama 2026 sebanyak 5.7 peratus, sekali gus meletakkan negara pada landasan kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan kerajaan antara empat hingga lima peratus bagi tahun ini.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, kestabilan politik, Jemaah Menteri, ekonomi Malaysia, pertumbuhan ekonomi, suku kedua 2026, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Putrajaya, muafakat kerajaan, pembangunan negara
