PKD, NADI digembleng perkasa ekonomi digital luar bandar
PKD, NADI digembleng perkasa ekonomi digital luar bandar
CYBERJAYA: Kerajaan mahu kerjasama antara Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diterjemahkan kepada model penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan, sekali gus memperkasa ekonomi digital 8.1 juta penduduk luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu perlu menghapuskan budaya kerja secara ‘silo’ serta kerenah birokrasi yang boleh menjejaskan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Menurutnya, kerjasama berkenaan bukan sahaja membabitkan usaha memperkukuh ekonomi digital di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), malah membolehkan Kementerian Komunikasi memperluas perkhidmatannya menerusi kemudahan sedia ada.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menetapkan tempoh sebulan kepada kedua-dua kementerian untuk mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri bagi memuktamadkan model kerjasama PKD dan NADI.
“Saya mahu satu model kerjasama PKD dan NADI yang jelas, fungsi yang diselaras, sumber yang dikongsi dan kita bertanggungjawab sepenuhnya kepada kejayaan yang akan kita cipta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik PKD KKDW dan NADI di sini.
Ahmad Zahid berkata, bengkel berkenaan tidak seharusnya berakhir sekadar dengan pembentangan slaid atau laporan, sebaliknya perlu menghasilkan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan bersama.
Dalam pada itu, beliau mahu indikator kejayaan setiap program kerajaan diukur berdasarkan mobiliti ekonomi rakyat, termasuk peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan.
Katanya, ukuran kejayaan tidak seharusnya hanya bergantung kepada jumlah peruntukan yang dibelanjakan.
Penyelarasan strategik PKD dan NADI juga penting bagi memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan kepada penduduk luar bandar secara lebih efisien tanpa dibatasi sempadan pentadbiran antara kementerian.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Ahmad Zahid Hamidi, PKD, NADI, KKDW, ekonomi digital, luar bandar, Fahmi Fadzil, MCMC, Cyberjaya, birokrasi
