Baja lewat: Anwar arah SPRM masuk, syarikat gagal berulang kali boleh ditamatkan
Baja lewat: Anwar arah SPRM masuk, syarikat gagal berulang kali boleh ditamatkan
SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semula proses berkaitan kelewatan pengagihan bekalan baja kepada pesawah di Kedah.
Beliau berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana kelewatan berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesawah sehingga mereka tampil mengemukakan memorandum.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana syarikat yang berulang kali gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan golongan petani dan pesawah.
“Kalau syarikat yang sebegini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan, ambil syarikat baru, jangan jadikan petani dan pesawah mangsa, ambil tindakan.
“Kalau nak dihadap ke mahkamah, hadapkan ke mahkamah. Kalau nak didakwa, SPRM masuk, masuk. Saya dah minta SPRM masuk dan kaji balik proses ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, Ahad.
Anwar berkata, meskipun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempunyai rekod yang baik, kelemahan segelintir pihak boleh menjejaskan imej kementerian serta usaha kerajaan membantu rakyat.
Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan menamatkan perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn Bhd susulan kelewatan pengedaran Baja Padi 3 di Kedah.
Baki bekalan baja yang lewat diedarkan kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mula dihantar pada 3 September dengan keseluruhan penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari.
Isu itu turut dibangkitkan ADUN Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari yang menggesa kerajaan mempertimbangkan bayaran ganti rugi kepada pesawah terjejas.
Kelewatan pengagihan Baja Padi 3 itu dilaporkan menjejaskan kira-kira 38,000 pesawah membabitkan tanaman padi seluas 78,117 hektar di kawasan MADA.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, SPRM, baja padi, pesawah, Kedah, MADA, Taveekun Manufacturing, Mohamad Sabu, MAHA 2026, pertanian, Baja Padi 3
