Bertempiaran lari, sorok celah tong elak dicekup imigresen
Bertempiaran lari, sorok celah tong elak dicekup imigresen
IPOH: Ada yang bertempiaran lari, bersembunyi di celah tong sisa industri malah cuba memanjat dinding sebaik menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di beberapa premis sekitar Bercham dan Kanthan, Chemor, malam tadi.
Tindakan sekumpulan warga asing itu bagaimanapun gagal apabila mereka berjaya dikesan dan ditahan menerusi Ops Mahir yang dilaksanakan bermula jam 7 malam.
Antara lokasi diserbu ialah sebuah kilang papan menghasilkan pintu di Kanthan, selain kilang sarung tangan dan medan selera di sekitar Bercham serta Chemor.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bersepadu itu membabitkan anggota JIM Perak, Kuala Lumpur dan ibu pejabat selain kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, seramai 305 pekerja diperiksa dalam operasi berkenaan dan daripada jumlah itu, 175 individu disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan berkenaan antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan serta permit kerja sah.
“Mereka yang ditahan majoritinya warga Bangladesh selain warga Myanmar dan Vietnam.
“Selain itu, ada juga yang mempunyai permit tetapi permitnya bukannya di syarikat yang mereka bekerja,” katanya.
Zakaria berkata, pihaknya turut mengenal pasti beberapa kes membabitkan penggunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat majikan yang menggunakan khidmat ejen tertentu sehingga membawa kepada pengeluaran pas berkenaan secara tidak sah.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi digunakan selain mengesan sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menghasilkan atau membekalkan pas palsu kepada pekerja asing.
JIM turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Jabatan Imigresen Malaysia, JIM, Ops Mahir, Chemor, Kanthan, Bercham, pekerja asing, PLKS palsu, Zakaria Shaaban, imigresen
