LIMA perlu ruang lebih besar, Melaka antara pilihan
LIMA perlu ruang lebih besar, Melaka antara pilihan
KOTA TINGGI: Keperluan memastikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) terus kekal kompetitif menjadi antara faktor kerajaan mempertimbangkan lokasi alternatif bagi penganjuran acara itu pada masa hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persaingan penganjuran pameran pertahanan di rantau ini semakin sengit apabila negara seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand turut menawarkan acara serta kemudahan berkaitan.
Menurutnya, Malaysia perlu sentiasa melakukan penambahbaikan termasuk menyediakan kawasan pameran lebih luas dan kemudahan lebih baik bagi memastikan penyertaan pemain industri antarabangsa tidak terjejas.
“Persaingan untuk penganjuran itu sangat-sangat kuat. Kalau kita tidak tingkatkan kemudahan, keluasan kawasan dan sebagainya, ramai mungkin tidak akan menyertainya.
“Indonesia, Vietnam, Thailand, semua buat. Atas sebab itu kita kena sentiasa lakukan penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 172 penerima di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan keperluan memindahkan LIMA dari Langkawi memandangkan acara itu sudah menjadi jenama dikenali di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan memberi bayangan kerajaan meneroka kemungkinan Melaka sebagai lokasi alternatif pada masa hadapan.
“Kalau misalnya di Langkawi itu sudah terlalu kecil, maka kita kena cari alternatif. Kalau tidak, memang penyertaan akan berkurangan daripada seperti yang kita harapkan.
“Itu sebabnya saya beri bayangan satu kawasan yang boleh menampung lebih besar dan memudahkan orang datang,” katanya.
Beliau berkata, kawasan Klebang di Melaka antara lokasi yang boleh dipertimbangkan, namun ia memerlukan pelaburan besar termasuk pembinaan pusat konvensyen serta kawasan pameran sesuai.
Mohamed Khaled turut memberi contoh Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang berdepan kekangan ruang, khususnya bagi mempamerkan aset dan kenderaan pertahanan bersaiz besar.
Menurutnya, pameran pertahanan antarabangsa di beberapa negara seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mempunyai kawasan pameran lebih luas termasuk ruang terbuka untuk aset pertahanan.
Ditanya sama ada nama LIMA akan dikekalkan sekiranya pameran itu berpindah lokasi, beliau berkata perkara berkenaan masih terlalu awal untuk diputuskan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw LIMA, Langkawi, Melaka, Klebang, Mohamed Khaled Nordin, Kementerian Pertahanan, pameran pertahanan, DSA, MITEC
