Demam F1 turut ‘bergegar’ di Putrajaya
Demam F1 turut ‘bergegar’ di Putrajaya
SEPANG: Kemeriahan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan akan diperluaskan sehingga ke Putrajaya menerusi penganjuran pelbagai karnival dan program sampingan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pendekatan itu bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat merasai sendiri bahang serta kemeriahan penganjuran perlumbaan berprestij dunia berkenaan.
Menurutnya, penganjuran selama tiga hari itu tidak hanya tertumpu di SIC, sebaliknya beberapa program termasuk karnival dan konsert turut dirancang berlangsung di sekitar Putrajaya.
“Kerana Putrajaya aksesnya lebih mudah, crowdnya lebih ramai,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Circuit Dash KBS x SIC Run 2026 di SIC, Jumaat.
Mohammed Taufiq berkata, peluasan program ke Putrajaya juga dijangka membantu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung selain memberi suasana lebih meriah sepanjang penganjuran perlumbaan itu.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
Katanya, ruang niaga itu akan membabitkan pelajar, veteran serta peniaga kecil dalam lingkungan radius lebih dua kilometer dari SIC.
Bagaimanapun, beliau berkata ruang niaga yang berada dalam radius kawasan litar hanya membabitkan reruai yang sudah ditetapkan atau mendapat persetujuan Bahrain International Circuit (BIC).
Mengulas persiapan SIC menjelang perlumbaan berkenaan, Mohammed Taufiq berkata, persiapan ketika ini berada pada tahap sangat baik.
Menurutnya, kerja pembaikan serta naik taraf litar juga sudah mula dilaksanakan bagi memastikan kemudahan berkenaan berada dalam keadaan terbaik menjelang penganjuran perlumbaan F1 itu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Formula Satu, F1, Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, Litar Antarabangsa Sepang, SIC, Putrajaya, Mohammed Taufiq Johari, Kementerian Belia dan Sukan
