Sindiket lombong Bitcoin tumpas, 168 mesin bernilai RM500,000 dirampas
Sindiket lombong Bitcoin tumpas, 168 mesin bernilai RM500,000 dirampas
IPOH: Polis menumpaskan kegiatan perlombongan Bitcoin dipercayai menggunakan bekalan elektrik secara haram selepas menyerbu empat kediaman di Sungai Siput dan Perak Tengah, Ahad lalu.
Dalam operasi berasingan itu, sebanyak 168 mesin perlombongan Bitcoin bernilai keseluruhan kira-kira RM500,000 dirampas.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, sebanyak 132 mesin bernilai RM395,000 dirampas menerusi tiga serbuan di sekitar Sungai Siput, manakala 36 lagi mesin bernilai RM105,000 dirampas di Seri Iskandar, Perak Tengah.
Menurutnya, serbuan pertama kira-kira jam 4 petang di sebuah kediaman di Sungai Siput Parade membawa kepada penemuan 58 mesin perlombongan Bitcoin, sebuah komputer riba dan dua router.
“Serbuan kedua kira-kira sejam kemudian di sebuah kediaman di Taman SS2 Perdana pula membawa kepada rampasan 26 mesin perlombongan Bitcoin, sebuah komputer riba dan sebuah router,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, Rabu.
Mohd Alwi berkata, serbuan ketiga pada jam 6.30 petang di sebuah kediaman di Taman Alamanda menemukan 48 mesin perlombongan Bitcoin dan sebuah router.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang dipercayai penjaga kediaman berkenaan.
Katanya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mendakwa tidak mengetahui mengenai kegiatan perlombongan Bitcoin di premis berkenaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti pemilik mesin, pihak yang terbabit serta berkaitan penggunaan elektrik.
“Hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau,” katanya.
Sementara itu, dalam serbuan di Seri Iskandar, polis merampas 36 mesin perlombongan Bitcoin selain sebuah router, desktop switch dan segulung kabel elektrik yang sudah dipotong.
Pemeriksaan awal mendapati kediaman berkenaan tidak mempunyai meter elektrik yang dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dipercayai menggunakan sambungan elektrik secara haram.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Bitcoin, perlombongan Bitcoin, Sungai Siput, Seri Iskandar, Perak Tengah, Mohd Alwi Zainal Abidin, TNB, curi elektrik, polis Perak
