Koperasi berpotensi pacu sektor ketiga, sekuriti makanan negara
Koperasi berpotensi pacu sektor ketiga, sekuriti makanan negara
PUTRAJAYA: Gerakan koperasi berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi negara apabila kerajaan memberi perhatian kepada usaha memperkukuh sektor ketiga termasuk dari aspek pengiktirafan, definisi dan perundangan.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Sri Mohd Shahar Abdullah berkata, langkah itu penting bagi memastikan entiti yang berada dalam sektor berkenaan, termasuk koperasi, tidak tercicir daripada peluang serta bentuk sokongan disediakan kerajaan.
Menurutnya, pemerkasaan sektor ketiga turut diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menerusi Teras C5 yang memberi fokus khusus kepada sektor berkenaan.
“Pemerkasaan sektor ketiga bukan hanya dari segi program, tetapi aspek perundangan juga penting. Kita akan sesuaikan perkara ini dengan kajian yang sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah di sini, semalam.
Mohd Shahar berkata, definisi yang jelas mengenai sektor ketiga perlu ditetapkan bagi menentukan entiti yang tergolong dalam sektor itu, sekali gus memastikan kumpulan sewajarnya menerima manfaat dasar serta inisiatif kerajaan.
Katanya, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam pelaksanaan bantuan sedia ada bagi mengelakkan pihak yang layak daripada tercicir.
Menurut beliau, sektor ketiga mempunyai nilai tambah besar kepada ekonomi negara, namun beberapa kekangan perlu dikenal pasti dan diselesaikan supaya potensinya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Dalam perkembangan sama, beliau melihat gerakan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh sekuriti makanan negara termasuk meneroka peluang dalam rantaian bekalan makanan yang masih bergantung kepada import.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, kunjungan berkenaan diharapkan dapat diterjemahkan kepada bentuk kerjasama konkrit antara ANGKASA dan Kementerian Ekonomi.
Katanya, ANGKASA bersedia membantu kerajaan dalam pelbagai agenda pembangunan negara berdasarkan kekuatan jaringan gerakan koperasi yang merentasi pelbagai sektor.
“Walaupun koperasi berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), aktiviti yang diceburi koperasi sebenarnya merentasi semua kementerian.
“Oleh itu, peranan koperasi perlu dilihat secara menyeluruh kerana sumbangannya bukan hanya tertumpu kepada satu kementerian atau sektor sahaja,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Azam Sulaiman; Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr Salmah Ishak; Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Halim Ibrahim dan Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Strategik ANGKASA, Nazarudin Shah Maaris.-SAHIH
#kw: ANGKASA, koperasi, sektor ketiga, Mohd Shahar Abdullah, Abdul Fattah Abdullah, RMK-13, Kementerian Ekonomi, sekuriti makanan, ekonomi negara
