Gerakan Setia UMNO pemangkin persediaan PRU16
Gerakan Setia UMNO pemangkin persediaan PRU16
JERANTUT: Program Gerakan Setia UMNO yang dijadual berlangsung pada 30 Mei ini dijangka menjadi pemangkin kepada persediaan jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), khususnya membabitkan golongan muda di kawasan Felda.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, perbincangan bersama Pemuda Felda Jengka 24 yang diadakan baru-baru ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak terlibat.
Menurutnya, mesyuarat itu memberi fokus kepada perancangan awal pelaksanaan program berkenaan yang dilihat sebagai platform penting untuk memperkukuh sokongan serta menyatukan gerak kerja akar umbi.
“Alhamdulillah, dapat bersama-sama pemuda Felda Jengka 24 bagi membincangkan program Gerakan Setia UMNO yang akan diadakan pada 30 Mei 2026.
“Mesyuarat berjalan lancar dan kerjasama yang diberikan sangat mantap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Razak berkata, program itu juga dilihat sebagai langkah strategik bagi memberi pendedahan kepada golongan muda untuk lebih aktif dalam politik serta terlibat secara langsung dalam pembangunan masyarakat.
Katanya, pihaknya turut menyeru lebih ramai anak muda tampil memberi sokongan dan bersama-sama menyumbang idea serta tenaga bagi menjayakan agenda parti.
“Kita perlu memberi pendedahan kepada golongan muda untuk terlibat dan saya merayu mereka memberikan sokongan.
“Kesedaran dalam kalangan mereka menunjukkan perkembangan positif dan semakin bertambah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada golongan muda yang hadir serta menunjukkan komitmen tinggi dalam perbincangan berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada golongan muda yang memberi sokongan,” katanya.-SAHIH
