PAHANG GAMAT! Lebih 2,000 pesilat serbu Jengka, 11 negara sah turun gelanggang
PAHANG GAMAT! Lebih 2,000 pesilat serbu Jengka, 11 negara sah turun gelanggang
MARAN – Pahang sekali lagi mencuri perhatian apabila lebih 2,000 pesilat termasuk kira-kira 200 atlet antarabangsa dijangka menyertai Festival Silat Perguruan dan Kejohanan Silat Terbuka Piala Cekak Harimau Malaysia, sekali gus menjadikan negeri itu antara tumpuan utama acara persilatan bertaraf dunia.
Menariknya, kejohanan yang berlangsung di bawah inisiatif Apresiasi Pahang 1st itu menyaksikan penyertaan 11 pasukan luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Indonesia dan Singapura.
Penyertaan luar negara dalam jumlah besar itu membuktikan seni persilatan tempatan semakin mendapat tempat di mata dunia, selain membuka ruang kepada pesilat tempatan menimba pengalaman beraksi dengan atlet antarabangsa.
Selain pasukan luar negara, sebanyak 79 pasukan tempatan turut mengambil bahagian menjadikan keseluruhan penyertaan amat memberangsangkan.
Pengerusi penganjur, Datuk Osman Nok yang juga pengasas Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia berkata, program itu bukan sekadar pertandingan semata-mata, malah menjadi medan menyemarakkan budaya silat di Pahang menerusi persembahan seni tempur serta pelbagai aktiviti berkaitan.
“Program ini diadakan untuk menghidupkan budaya silat di Pahang, selain menjadi platform mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, penganjuran festival itu turut mendapat sokongan padu kerajaan Pahang khususnya Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang banyak membantu perkembangan seni silat di negeri ini.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Tok Wan yang banyak membantu PESAKA Pahang dengan peruntukan RM1 juta untuk program sepanjang tahun 2026,” katanya.
Festival itu dijadual berlangsung di Balora Mastika, Bandar Jengka dari 14 hingga 17 Mei 2026 dengan majlis perasmian penutup pada Ahad ini.
Program berkenaan dijangka menjadi platform terbaik melahirkan pesilat baharu dan mengangkat martabat silat Pahang di pentas antarabangsa.-SAHIH
#kw #silat #FestivalSilat #PialaCekakHarimau #CekakHarimau #SilatMalaysia #SilatAntarabangsa #ApresiasiPahang1st #Pahang #BandarJengka
