Kemalangan sulung hampir noktahkan impian Izzati
Kemalangan sulung hampir noktahkan impian Izzati
KUALA NERUS: Pengalaman hampir empat tahun mengharungi cabaran perlumbaan pacuan empat roda (4X4), termasuk pernah terbabit kemalangan pada penampilan sulung, tidak mematahkan semangat Nur Izzati Zonkifli untuk terus memburu kejayaan dalam sukan yang didominasi lelaki.
Pelumba berusia 28 tahun daripada pasukan Laluan Rimba 4X4 itu kini kembali ke Kuala Nerus dengan misi menaiki podium Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 yang berlangsung selama dua hari di Bandar Baru Kuala Nerus, di sini.
Nur Izzati sanggup menempuh perjalanan lebih 400 kilometer dari Kodiang, Kedah merentasi Banjaran Titiwangsa bagi menyertai saingan berkenaan yang sudah menjadi sebahagian rutin kehidupannya.
Katanya, perjalanan dalam arena perlumbaan itu bagaimanapun bukan sentiasa mudah apabila dia pernah hampir mengalah selepas terbabit kemalangan ketika penampilan pertamanya di Sik, Kedah, empat tahun lalu.
“Saya pernah berputus asa selepas penampilan pertama dalam arena perlumbaan 4X4 empat tahun lalu di Sik apabila terbabit kemalangan sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada kereta lumba pasukan.
“Jika tidak kerana ayah yang ketika itu juga ‘copilot’ dan sentiasa memberikan semangat untuk meneruskan perlumbaan, sudah tentu saya tidak berada di sini untuk berlumba,” katanya.
Menurutnya, sokongan keluarga dan pasukan Laluan Rimba 4X4 menjadi antara faktor utama dia terus bertahan serta berpeluang menyertai perlumbaan di seluruh negara dan beberapa kejohanan di negara jiran.
“Laluan Rimba 4X4 banyak memberi ruang dan peluang untuk kami berlumba di seluruh negara, malah beberapa kali ke negara jiran.
“Tanpa sokongan dan dorongan pasukan ini, mungkin kami hanya hadir sebagai penonton,” katanya.
Selepas beraksi di Jempol, Negeri Sembilan pada Julai lalu, Nur Izzati kini menyasarkan untuk kembali menaiki podium seperti pernah dilakukannya pada edisi terdahulu Terengganu 4X4 Merdeka Challenge.
Kali ini, dia bertindak sebagai pemandu utama bergandingan dengan juru pandu arah Muhammad Amir Hakimi Awang dalam kategori Super Novice Litecore dan Short Wheel Base (SWS).
Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 yang melabuhkan tirai hari ini menghimpunkan 56 pelumba dari seluruh negara memburu kejuaraan dalam tiga kategori iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS).-SAHIH
#kw: Nur Izzati Zonkifli, Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026, Laluan Rimba 4X4, Kuala Nerus, pacuan empat roda, 4X4, Muhammad Amir Hakimi Awang
