Anak ibu tunggal penoreh getah berjaya peroleh 7A SPM
Foto atas: Alissa Nabila Mat Amin (dua dari kiri) bersama Pengetua, Hasnul Shawa Abas (kiri) dan ibunya, Shamsiah Md Yusof, 56 (2 dari kanan) menunjukkan kad keputusan 7A peperiksaan SPM 2022 di Damak, Jerantut, pada Khamis.
Anak ibu tunggal penoreh getah berjaya perolehi 7A SPM
JERANTUT : Alissa Nabila Mat Naim (18) anak bongsu daripada tiga beradik kepada seorang ibu tunggal, sentiasa sedih apabila melihat setiap pagi ibunya turun menoreh getah kebun milik orang untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara kami sekeluarga.
Katanya, rasa sedih dan bersimpati dengan tanggungjawab ibunya menyediakan keperluan keluarga dengan hanya hasil pendapatan menoreh getah mendorong pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak, Alissa Nabila belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin.
“Ibu saya, Shamsiah Md Yusof, 56 , sentiasa bersemangat dan berusaha menyebabkan saya rasa terharu dan bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mampu memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM 2022 sebagai hadiah kepada ibu dan keluarga.
“Pendapatan yang kecil hanya semata-mata untuk menyara persekolahan saya , manakala selebihnya untuk barang keperluan dapur menjadikan saya sedar dan lebih bersemangat untuk berjaya,” katanya ketika ditemui selepas menerima keputusan SPM.
Katanya , dia perlu berusaha dan belajar bersungguh-sungguh kerana keluarganya tidak mempunyai harta dan ibu sendiri bekerja sebagai penoreh getah untuk keperluan dapur dan sebagainya.
Alissa dan keluarga tinggal di Kampung Som, Damak dekat sini, memperoleh ‘A’ dalam mata pelajaran bahasa Melayu, Pendidikan Agama Islam, bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Prinsip Perakaunan dan Kimia, manakala Fizik (B+) dan Matematik Tambahan (C) membolehkan dia dan seorang pelajar lagi muncul antara pelajar terbaik sekolah tersebut dalam peperiksaan SPM tahun lalu.
“Saya tidak mempunyai sebarang resepi kejayaan khusus hanya memberi fokus ketika guru mengajar di dalam kelas, bertanyakan perkara yang tidak faham dan paling penting mengulangkaji pelajaran selama sejam sebelum tidur dan bangun awal pagi mengulangkaji sebelum solat Subuh.
“Amalan solat hajat dan tahajud sentiasa saya lakukan selepas bangun tengah malam sambil berdoa kepada Allah memperoleh kejayaan dalam peperiksaan dan kesejahteraan keluarga terutama kesihatan ibu yang menjaga kami,” katanya.-SAHIH.