Dasar hebat tidak bermakna jika gagal dilaksana – Anwar
Dasar hebat tidak bermakna jika gagal dilaksana – Anwar
KUALA LUMPUR: Perancangan ekonomi yang hebat tidak menjamin kejayaan sesebuah negara sekiranya dasar dirangka gagal dilaksanakan dengan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran utama kerajaan bukan sekadar menghasilkan dasar yang jelas, tetapi memastikan pelaksanaannya memberi manfaat kepada negara dan sektor perindustrian.
Katanya, anggota Kabinet perlu meneliti perubahan dasar utama bagi memperkukuh daya tahan negara, industri dan ekonomi dalam menghadapi cabaran semasa.
“Banyak negara mampu memperkenalkan pelan yang mengagumkan, tetapi tiada jaminan ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Justeru, peranan birokrasi dan lebih penting pemain industri amat kritikal dalam memastikan kejayaan pelaksanaan dasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini, malam Jumaat.
Anwar berkata, kerajaan memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan negara selain merangka dasar ekonomi yang mampu menyokong perkembangan industri tempatan.
Menurutnya, usaha berkenaan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri bagi memastikan Malaysia terus maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk membantu lebih banyak syarikat tempatan berkembang menjadi pemain industri utama serta menembusi pasaran global.
Katanya, perubahan pesat teknologi dan keperluan pasaran menuntut kerajaan serta sektor industri supaya sentiasa bersedia menyesuaikan pendekatan masing-masing.
Mengulas penyediaan Belanjawan 2027, Anwar berkata, kementerian perlu memahami keperluan setiap sektor terlebih dahulu sebelum menentukan kerangka perancangan kewangan negara.
“Sebab itu dalam rangka Belanjawan baharu, saya ingatkan rakan-rakan di Perbendaharaan supaya jangan kita mula dengan kerangka kita.
“Kita harus mula dengan kerangka semua sektor di bawah. Kemudian baru kita lihat apakah ia boleh diserasikan dengan lakaran yang harus diletakkan atau perlu ada sedikit pengubahsuaian,” katanya.
Anwar turut menyatakan keyakinan Malaysia mampu terus mencatat kemajuan menerusi usaha berterusan MITI dan kerjasama strategik dengan pemain industri.-SAHIH
#AnwarIbrahim #EkonomiMalaysia #DasarEkonomi #IndustriMalaysia
