Waze mungkin diharamkan sepenuhnya – Anwar
Waze mungkin diharamkan sepenuhnya – Anwar
AMPANG: Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di negara ini sekiranya aplikasi alternatif tempatan mempunyai keupayaan mencukupi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan dipertimbangkan selepas kerajaan meneliti kemampuan aplikasi sedia ada untuk menggantikan Waze.
“Kita kaji apa alternatifnya. Kalau kita tengok keupayaan kita cukup baik, maka mungkin ada kemungkinan untuk mengharamkan sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana di sini, semalam.
Anwar berkata, susulan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam bagi urusan rasmi, orang ramai turut disarankan beralih kepada aplikasi navigasi tempatan.
Beliau mengakui aplikasi navigasi TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) masih mempunyai kelemahan dan belum mencapai tahap keupayaan yang diperlukan.
“Apabila saya dapat pengakuan daripada Lembaga Lebuhraya, katanya TuJu itu rupanya tidak lengkap.
“Jadi sekarang menteri pun sudah jelaskan di Parlimen, guna apa sahaja yang lain yang berpangkalan di Malaysia. Walaupun tidak canggih, tidak mengapa kita baiki,” katanya.
Menurutnya, aspek keselamatan negara perlu diberi keutamaan berbanding kelemahan aplikasi alternatif yang masih boleh ditambah baik.
Anwar berkata, keputusan melarang penggunaan Waze bagi urusan rasmi penjawat awam dibuat selepas semakan mendapati aplikasi berkenaan tertakluk kepada undang-undang Israel.
Katanya, perkara itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat sulit kerajaan dan data peribadi pengguna.
“Itu yang menyebabkan saya mengambil tindakan agak spontan. Tidak boleh saya kata hendak tangguh satu hari pun.
“Ada orang kata patut sabar dulu, semak dulu. Saya kata sudah sah. Sebab kalau sudah gunakan Waze, secara automatik menyerahkan semua maklumat kepada Israel,” dakwanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan isu berkaitan Waze dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.-SAHIH
#Waze #AnwarIbrahim #KeselamatanNegara #AplikasiNavigasi
