Hasil kajian isu buli di sekolah diumum minggu depan
Hasil kajian isu buli di sekolah diumum minggu depan
KUALA LUMPUR : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dijangka mengumumkan hasil kajian berhubung isu buli di sekolah selewat-lewatnya minggu depan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian dilaksanakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu bertujuan mencari pendekatan terbaik bagi menangani gejala berkenaan supaya tidak menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar.
Katanya, isu buli perlu ditangani secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk sekolah dan ibu bapa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid terus terpelihara.
“Kita tidak mahu ia menjadi satu kebiasaan di sekolah. Jadi, menakutkan yang dibuli itu. Kita sedang mencari jalan untuk membantu juga.
“Tapi pihak sekolah juga ada peranan mereka masing-masing dan kita sama-sama memainkan peranan itu.
“Insya-Allah kita akan keluarkan keputusan dari segi penyelidikan yang dilakukan melalui LPPKN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan BernamaTV.
Nancy berkata, LPPKN turut menjalinkan kerjasama dengan universiti bagi melaksanakan lebih 80 kajian penyelidikan merangkumi pelbagai aspek pembangunan keluarga.
Katanya, kajian berkenaan turut memberi tumpuan kepada peranan ibu bapa dalam meningkatkan kesedaran serta membina keyakinan anak-anak.
Menurutnya, kementerian bersama agensi di bawahnya sebelum ini menyasarkan pelaksanaan program pendidikan di 300 sekolah tahun lalu, namun sasaran itu belum dicapai disebabkan beberapa faktor.
Beliau berkata, usaha berkenaan akan diteruskan dengan penambahan modul pendidikan khususnya berkaitan isu buli yang sebelum ini kurang diberikan penekanan.
Katanya, program sedia ada lebih tertumpu kepada pendidikan mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat, isu seksual serta panduan membantu kanak-kanak mengenal pasti individu yang boleh dipercayai.
Penambahan modul berkaitan buli diharap dapat memperkukuh usaha pencegahan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar, ibu bapa serta pihak sekolah.-SAHIH
#BuliSekolah #NancyShukri #LPPKN #KPWKM
