Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama industri kreatif
Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama industri kreatif
JAKARTA: Malaysia dan Indonesia berhasrat memperkukuh kerjasama dalam industri kreatif merangkumi bidang seni, harta intelek, muzik dan perfileman bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada kedua-dua negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, industri ekonomi kreatif mempunyai potensi besar untuk diterokai melalui kerjasama lebih erat antara pemain industri kedua-dua negara.
Katanya, Malaysia dan Indonesia perlu mengenal pasti kekuatan masing-masing yang boleh saling melengkapi bagi memperluas pasaran serta menjana manfaat ekonomi bersama.
“Ini peluang yang baik untuk kita mengeratkan hubungan silaturahim antara Malaysia dan Indonesia.
“Ekonomi kreatif adalah sektor yang sangat dinamik dan mempunyai potensi besar. Saya berharap kita dapat mencari lebih banyak persamaan berbanding perbezaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama wakil industri kreatif Indonesia di Jakarta, Selasa lalu.
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Muzafar Shah Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MyCreative Ventures, Zainol Haqim Zainol Rashid dan CEO Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama, Mohd Shukri Ishak.
Indonesia pula diwakili Ahli Jawatankuasa Ekonomi Kreatif Jakarta, EnMasse dan Sun Eater Group.
Fahmi berharap pertemuan itu menjadi langkah permulaan kepada kerjasama jangka panjang dalam memperkukuh hubungan industri kreatif kedua-dua negara.
Beliau turut menekankan keperluan menangani cabaran akses pasaran karya kreatif Malaysia di Indonesia, khususnya industri filem dan muzik.
Katanya, usaha itu termasuk meneroka peluang membolehkan lebih ramai artis Malaysia mengadakan persembahan di Indonesia.
Perkara berkenaan dijangka dibincangkan dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dijadualkan ditandatangani pada Rabu.
Fahmi berada di Jakarta bagi menghadiri Persidangan Dunia mengenai Ekonomi Kreatif (WCCE) selepas menghadiri Bali Tech Week.
Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebudayaan Indonesia, Fadli Zon dan Menteri Ekonomi Kreatif, Teuku Riefky Harsya.-SAHIH
#FahmiFadzil #MalaysiaIndonesia #IndustriKreatif #WCCE
