RM150 juta naik taraf tandas awam seluruh negara hingga 2030
RM150 juta naik taraf tandas awam seluruh negara hingga 2030
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM150 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf tandas awam di seluruh negara dalam tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan khas RM30 juta setahun itu bertujuan memastikan kemudahan tandas awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa bersih, selesa dan berada dalam keadaan baik.
Katanya, sebanyak 1,529 tandas awam di bawah seliaan PBT sudah dinaik taraf menerusi peruntukan yang disalurkan bagi tempoh 2023 hingga 2025.
“Kerjasama KPKT dengan Kementerian Pendidikan turut menyaksikan sebanyak 11,835 tandas sekolah di seluruh negara berjaya dinaik taraf, sekali gus mencatat pencapaian terbesar dalam sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Tandas Terbaik Malaysia 2026 (TOTYA’26) anjuran KPKT di ibu negara, Selasa lalu.
Kor Ming berkata, penyediaan tandas awam yang bersih, menawan dan wangi (BMW) penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat selain mencerminkan imej serta tahap ketamadunan sesebuah negara.
“Tandas awam sebenarnya ibarat kad pengenalan dan barisan hadapan yang mencerminkan imej sesebuah negara,” katanya.
Menurutnya, Malaysia dijangka menerima 47 juta pelancong asing tahun ini, menjadikan kebersihan tandas awam antara aspek penting dalam menyokong industri pelancongan negara.
Katanya, kesedaran terhadap kebersihan tandas turut meningkat apabila penyertaan TOTYA’26 mencatat 849 penyertaan berbanding 345 pada tahun pertama penganjurannya.
Beliau berkata, pertandingan yang memasuki edisi keempat itu membabitkan lapan kategori termasuk sekolah, rumah ibadat, pusat beli-belah, stesen minyak, hotel, restoran, PBT serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
“KPKT juga akan memperkenalkan kategori baharu tahun depan membabitkan institusi pengajian tinggi, universiti dan maktab bagi menggalakkan lebih banyak institusi pendidikan mengutamakan kebersihan serta penyelenggaraan tandas,” katanya.-SAHIH
#KPKT #TandasAwam #NgaKorMing #TOTYA2026
