Pembenihan awan diteruskan, buru awan redakan jerebu Sarawak
Pembenihan awan diteruskan, buru awan redakan jerebu Sarawak
ISKANDAR PUTERI: Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan terus digerakkan di Sarawak mengikut pergerakan angin dan kedudukan awan dalam usaha menurunkan tahap pencemaran udara akibat jerebu yang melanda negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan operasi berkenaan dibuat berdasarkan nasihat dan pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurutnya, faktor luruan angin serta kedudukan awan menjadi antara pertimbangan utama sebelum OPA dilaksanakan di kawasan yang dikenal pasti sesuai.
“Terus dijalankan (OPA) mengikut di mana luruan angin dan juga awan itu berada. Kita mendapat nasihat daripada MetMalaysia untuk pembenihan awan ini dilakukan mengikut luruan angin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di EduCity Sports Complex, di sini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, Sarawak ketika ini berdepan fenomena jerebu dengan Kuching dan Sri Aman antara kawasan yang mencatatkan tahap pencemaran udara tinggi.
Bagaimanapun, katanya, keadaan di Sri Aman menunjukkan perkembangan lebih baik apabila tahap pencemaran udara di kawasan berkenaan mula menurun.
Beliau berharap pelaksanaan OPA dapat membantu memperbaiki kualiti udara serta menurunkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Sarawak.
Usaha itu katanya penting terutama menjelang sambutan Hari Malaysia yang bakal berlangsung di Kuching.
Pelaksanaan OPA akan diteruskan berdasarkan keadaan cuaca semasa serta kesesuaian atmosfera bagi memastikan operasi berkenaan dapat memberi kesan optimum dalam membantu mengurangkan jerebu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Operasi Pembenihan Awan, OPA, Sarawak, jerebu, Ahmad Zahid Hamidi, MetMalaysia, Kuching, Sri Aman, IPU, Hari Malaysia
