DNA waris 55 rakyat Malaysia hilang dihantar ke Nepal
DNA waris 55 rakyat Malaysia hilang dihantar ke Nepal
SEREMBAN: Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris terdekat kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal sudah selesai diperoleh bagi membantu proses pengecaman mangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sampel berkenaan akan dihantar ke Nepal untuk proses padanan DNA oleh pihak berkuasa negara itu.
Menurutnya, proses berkenaan dijangka mengambil masa berikutan jumlah mangsa bencana yang ramai dan turut membabitkan rakyat dari beberapa negara lain.
Malaysia, katanya, juga bersedia menghantar pakar Jabatan Kimia sekiranya diperlukan bagi membantu mempercepatkan proses pengecaman.
“Banyak negara lain juga akan menghantar pakar-pakar padanan DNA ke Nepal untuk membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti dan mempercepatkan proses padanan DNA yang telah diambil daripada keluarga terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang, di sini, Sabtu.
Mohamad berkata, kerajaan Nepal memberikan kerjasama amat baik kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dalam menyalurkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.
Katanya, Wisma Putra menerima laporan harian daripada Kuasa Usaha Malaysia di Kathmandu, manakala waris terbabit turut dihubungi secara berkala sekiranya terdapat perkembangan baharu.
Bilik operasi juga terus beroperasi bagi memastikan maklumat terkini dapat disampaikan secara langsung kepada keluarga mangsa.
Mohamad berkata, Nepal mengehadkan kemasukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) asing bagi mengelakkan terlalu banyak pasukan luar sehingga boleh menyukarkan penyelarasan operasi.
Pagi tadi, 11 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR dengan misi dijangka berlangsung selama 10 hari.
Seramai 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan bencana pada 26 Ogos lalu, manakala 77 lagi yang ditemukan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu.
Menurut Mohamad, sebahagian daripada 77 individu itu sudah selamat tiba di Malaysia, manakala selebihnya dijangka pulang menerusi penerbangan yang diuruskan ejen pelancongan masing-masing.
Dalam perkembangan lain, Mohamad dijadual bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand di Kuala Lumpur, Isnin ini bagi membincangkan usaha meningkatkan keselamatan di Selatan Thailand serta isu dua hala.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Nepal, rakyat Malaysia hilang, DNA, Mohamad Hasan, banjir Nepal, tanah runtuh Nepal, SMART, Wisma Putra, Kathmandu, operasi SAR
