Pekan Serian lengang, jerebu jejas rutin dan rezeki penduduk
Pekan Serian lengang, jerebu jejas rutin dan rezeki penduduk
SERIAN: Ancaman jerebu berterusan dan pengisytiharan darurat menyebabkan suasana hujung minggu di pekan Serian yang kebiasaannya meriah bertukar lengang apabila ramai penduduk mengehadkan aktiviti luar.
Tinjauan mendapati aktiviti harian penduduk turut terjejas berikutan kebimbangan terhadap risiko kesihatan walaupun bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menunjukkan trend penurunan berbanding paras berbahaya melebihi 500 yang direkodkan semalam.
Penduduk Kampung Engkeroh, Elton Arib, 33, berkata suasana hujung minggu kali ini jauh berbeza berbanding kebiasaan susulan keadaan jerebu yang masih tebal serta bau asap menyengat.
“Macam kurang sikit sebab jerebu masih tebal, dekat kampung pun sama jerebu masih tebal,” katanya.
Keadaan itu turut memberi kesan kepada peniaga tempatan apabila jumlah pelanggan berkurangan sekali gus menjejaskan pendapatan harian.
Peniaga, Siti Shahrizan Lamat, 25, berkata jualannya mula terjejas sejak jerebu melanda kawasan berkenaan.
“Jualan terjejas, semenjak jerebu tu ada kurang sikitlah jualan, sebelum-sebelum tu okey saja,” katanya.
Sementara itu, peniaga buah-buahan dari Kampung Serian Hilir, Sakong Lek, 63, berharap keadaan cuaca kembali pulih selepas hujan renyai pada awal pagi tadi sedikit sebanyak memberi kelegaan.
“Hari ini kita tengok Alhamdulillah, ada macam kurang sikit. Jadi moga-moga jerebu ini akan berkurangan terus,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian susulan tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Pengisytiharan darurat itu turut menyaksikan 647 sekolah di seluruh Sarawak ditutup bermula Isnin dengan sesi persekolahan diteruskan menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Setakat jam 10 pagi tadi, portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bacaan IPU di Serian menurun kepada 334, namun masih berada pada paras berbahaya.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Serian, jerebu, darurat, IPU, APIMS, Sarawak, sekolah ditutup, PdPR, Jabatan Alam Sekitar
