Anak muda perlu dipersiap pacu kelangsungan ekonomi negara
Anak muda perlu dipersiap pacu kelangsungan ekonomi negara
KUALA LUMPUR: Persediaan generasi muda untuk berdepan perubahan struktur ekonomi dan demografi negara perlu diberi perhatian bagi memastikan momentum pertumbuhan Malaysia dapat diteruskan dalam jangka panjang.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu penting memandangkan golongan muda bakal memikul tanggungjawab lebih besar dalam menjamin kelangsungan ekonomi negara pada masa depan.
Menurutnya, persediaan Malaysia menuju negara menua tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengurusan golongan warga emas, sebaliknya perlu merangkumi usaha menyediakan generasi muda menghadapi cabaran kehidupan dan ekonomi.
“Generasi anak mudalah yang sebenarnya perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk kelangsungan ekonomi dan juga kesinambungan pertumbuhan negara.
“Jadi untuk menyelami perkara ini bagaimana juga Kementerian Ekonomi melihat struktur persiapan negara ke arah menua, bukan semata-mata menguruskan warga yang menua, tetapi mempersiapkan anak-anak muda ini untuk kelangsungan kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Junior Innovathon: Di Sini Inovasi Bermula, di ibu negara, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, Kementerian Ekonomi turut berhasrat memperluaskan pendedahan golongan belia menerusi beberapa program khusus dalam usaha membuka lebih banyak ruang kepada mereka meneroka peluang ekonomi.
Katanya, antara perkara yang akan diberi perhatian adalah peluang dalam segmen pasaran serta pemilikan saham yang boleh meningkatkan penyertaan generasi muda dalam ekonomi.
Mengulas mengenai pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), beliau berkata, bidang berkenaan perlu terus diperkasa menerusi pembentukan bakat sejak peringkat akar umbi.
Menurutnya, usaha itu termasuk memberi keutamaan kepada pembangunan bakat yang mempunyai kemahiran seiring dengan keperluan industri sedang berkembang dan sektor bernilai tinggi serta berimpak tinggi (HGHV).
Langkah berkenaan penting bagi memastikan negara mempunyai kumpulan tenaga mahir yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sektor ekonomi masa depan, sekali gus menyokong pertumbuhan negara secara berterusan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Kementerian Ekonomi, anak muda, generasi muda, ekonomi, STEM, Junior Innovathon, HGHV, bakat, inovasi
