AS dijangka umum keputusan siasatan Malaysia dalam empat minggu
AS dijangka umum keputusan siasatan Malaysia dalam empat minggu
Kuala Lumpur: Malaysia menjangkakan Amerika Syarikat (AS) akan mengumumkan hasil siasatan berkaitan isu lebihan kapasiti pengeluaran (excess capacity) membabitkan negara ini dalam tempoh tiga hingga empat minggu lagi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dimaklumkan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer ketika perbualan telefon mereka baru-baru ini.
Menurutnya, penilaian pihak AS kini berada pada peringkat akhir sebelum melalui proses perundangan yang diperlukan dan seterusnya diumumkan secara rasmi.
“Takrif mereka mengenai lebihan kapasiti turut mengambil kira negara ketiga. Itu yang perlu kita uruskan.
“Perkara ini masih dalam proses dan mereka memaklumkan kepada saya kira-kira tiga atau empat minggu lagi. Selepas itu, ia perlu melalui proses perundangan sebelum diumumkan.
“Buat masa ini, kedudukan kita masih seperti sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Persidangan Bersama MAJECA-JAMECA Ke-43, hari ini.
Johari berkata, Malaysia akan terus mengadakan libat urus dengan AS berhubung perkara berkenaan selain menegaskan negara ini tidak mempunyai masalah lebihan kapasiti pengeluaran.
Bagaimanapun, katanya, perkara yang menjadi perhatian Malaysia ialah definisi lebihan kapasiti digunakan AS yang turut mengambil kira kapasiti pengeluaran berpunca atau berasal dari negara ketiga.
Justeru, isu berkenaan perlu diuruskan secara berhati-hati menerusi perbincangan berterusan dengan Washington.
Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) pada Mac lalu melancarkan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan lebihan kapasiti struktur dalam sektor pembuatan.
Siasatan berkenaan membabitkan 16 ekonomi perdagangan utama termasuk Malaysia bagi menilai isu berkaitan kapasiti dan pengeluaran sektor pembuatan.
Malaysia kini menunggu hasil penilaian berkenaan sementara kerajaan meneruskan rundingan serta libat urus dengan pihak AS.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Johari Abdul Ghani, Amerika Syarikat, AS, USTR, lebihan kapasiti, excess capacity, Seksyen 301, perdagangan, MITI, MAJECA-JAMECA
