Struktur grafik manusia HK26 selamat, sudah kali ketiga digunakan
Struktur grafik manusia HK26 selamat, sudah kali ketiga digunakan
PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah meneliti sepenuhnya tahap keselamatan struktur bertingkat yang menempatkan 1,500 pelajar bagi persembahan grafik manusia sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026, susulan kebimbangan orang ramai selepas rakaman struktur itu bergoyang tular di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, struktur berkenaan disahkan selamat dan pergerakan yang kelihatan pada rakaman video itu adalah sebahagian daripada ciri reka bentuknya.
Menurutnya, struktur berkenaan sememangnya dibina dengan sedikit ruang toleransi bagi membolehkan ia menampung pergerakan peserta yang melakukan persembahan secara berirama.
“Sekiranya jambatan itu terlalu kukuh dan oleh kerana ‘human graphic’ itu bergerak dalam berirama, sekiranya dia terlalu kukuh, itu tidak baik untuk struktur.
“Jadi, dia perlu ada sedikit toleransi. Toleransi itu telah dibina dan dimasukkan dalam struktur. Alhamdulillah, struktur itu selamat.
“Kita telah minta untuk diteliti supaya tidak ada apa-apa yang menyukarkan sama ada persembahan ataupun menyulitkan dan juga mendatangkan apa-apa isu keselamatan, terutama kepada para pelajar,” katanya.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata demikian ketika mengulas rakaman video tular di media sosial yang memaparkan struktur teres peserta persembahan grafik manusia sedikit bergoyang.
Rakaman berkenaan sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, khususnya mengenai keselamatan pelajar yang ditempatkan di struktur berkenaan.
Bagaimanapun, Fahmi menjelaskan struktur terbabit sudah digunakan buat kali ketiga dan setakat ini tidak mempunyai sebarang masalah.
Beliau berkata, aspek keselamatan peserta terutama pelajar sentiasa diberi perhatian bagi memastikan persembahan sempena sambutan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Hari Kebangsaan 2026, Fahmi Fadzil, grafik manusia, human graphic, Perbadanan Putrajaya, PPj, HKHM 2026, Putrajaya, struktur teres, keselamatan pelajar
