Tengku Mahkota Pahang mahu latihan ketenteraan di pulau dikawal
Tengku Mahkota Pahang mahu latihan ketenteraan di pulau dikawal
KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti latihan ketenteraan yang dicadangkan untuk dilaksanakan di kawasan kepulauan dalam negeri ini kerana dikhuatiri boleh menjejaskan ekosistem alam sekitar.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Istana Abdulaziz hari ini, baginda mengambil berat terhadap latihan ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dirancang terutama di kawasan pulau di Pahang.
Menurut kenyataan itu, aktiviti ketenteraan berkenaan dikhuatiri memberi kesan terhadap flora dan fauna selain menggugat keseimbangan alam sekitar di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, Tengku Hassanal bertitah baginda tidak menolak kepentingan latihan ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran serta pengalaman pegawai dan anggota tentera.
“Namun, aktiviti ketenteraan tersebut mestilah dilaksanakan dalam keadaan terkawal, bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar serta semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, baginda bertitah supaya pihak ATM dan semua jabatan serta agensi berkaitan mendapatkan perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan atau eksesais ketenteraan di negeri ini.
Selain itu, Tengku Hassanal turut menitahkan agar semua pihak mematuhi serta menjunjung titah berkenaan demi memastikan sebarang aktiviti yang dijalankan tidak menimbulkan isu terhadap alam sekitar dan kepentingan rakyat.
Menurut kenyataan sama, baginda tidak akan teragak-agak meminta kerajaan Pahang mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran terhadap prosedur yang ditetapkan.-SAHIH
