‘Pahang perlu layanan saksama’ – Tengku Mahkota Pahang
‘Pahang perlu layanan saksama’ – Tengku Mahkota Pahang
KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan pendirian supaya Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Istana Abdulaziz hari ini, baginda memaklumkan telah mengambil maklum mengenai kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Tengku Hassanal menekankan kepentingan keadilan dalam agihan pembangunan serta perhatian terhadap kebajikan rakyat di negeri itu.
“Saya ingin menegaskan pendirian agar Negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama,” titah baginda dalam kenyataan berkenaan.
Dalam kenyataan sama, baginda turut menyertakan serangkap pantun klasik yang membawa maksud mendalam mengenai budi dan janji.
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Penggunaan pantun itu dilihat sebagai teguran berhemah namun tegas dalam menyuarakan aspirasi rakyat Pahang.
Pemerhati politik tempatan menyifatkan titah baginda sebagai peringatan kepada pentadbiran pusat agar tidak meminggirkan peranan serta sumbangan Pahang dalam pembangunan negara.
Kenyataan bertarikh 8 Mei 2026 bersamaan 20 Zulkaedah 1447H itu kini tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan rakyat Pahang.
Sehingga kini, belum ada maklum balas rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung kenyataan berkenaan.-SAHIH
Foto : Kesultanan Pahang
