Obor PRU16 mula menyala, UMNO Jerantut seru ahli rapatkan saf
Obor PRU16 mula menyala, UMNO Jerantut seru ahli rapatkan saf
JERANTUT: “Obor telah mula membakar, kehangatan sudah dirasai.”
Itu kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud yang menyifatkan gerak kerja parti kini semakin rancak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekali gus memberi isyarat UMNO perlu bersedia lebih awal bagi menghadapi cabaran politik semasa.
Menurutnya, suasana politik ketika ini menunjukkan rakyat semakin memberi perhatian terhadap hala tuju negara, terutama membabitkan isu ekonomi, kos sara hidup dan kebajikan masyarakat luar bandar yang memerlukan tindakan segera serta berkesan.
Katanya, UMNO Jerantut kini berada dalam fasa memperkukuh jentera akar umbi termasuk mempergiat aktiviti bersama masyarakat, program kebajikan serta sesi penerangan bagi memastikan mesej perjuangan parti disampaikan kepada rakyat.
“Obor ini bukan sekadar simbol semangat, tetapi tanda kebangkitan dan kesiapsiagaan.
Kita mahu semua ahli kembali merapatkan saf, mengetepikan perbezaan kecil serta memberi tumpuan kepada agenda utama iaitu mengukuhkan parti dan mempertahankan suara rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Razak berkata, UMNO perlu bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu dan berdisiplin kerana hanya kekuatan organisasi yang mantap mampu mengembalikan keyakinan rakyat.
Beliau turut menggesa semua ahli supaya tidak mudah terpengaruh dengan provokasi pihak lawan serta sentiasa menjaga imej parti dengan menunjukkan sikap matang dalam menghadapi sebarang isu.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan golongan muda memainkan peranan lebih besar dalam gerak kerja parti, termasuk memanfaatkan platform digital bagi menyampaikan maklumat tepat dan menangkis fitnah.
“Jika kita benar-benar bersedia, obor ini akan menjadi api kemenangan,” katanya.-SAHIH
