Otai Busker’ terus berbakti dengan muzik pada usia 79 tahun
Foto : Pak Wan atau Wan Azhar Wan Annuar mengadakan persembahan sempena sambutan hari raya baru-baru ini.
Otai Busker’ terus berbakti dengan muzik pada usia 79 tahun
CHERAS – Muzik ibarat darah daging buat Wan Azhar Wan Annuar atau lebih mesra disapa Pak Wan yang sudah 64 tahun bergelumang dalam dunia seni muzik sejak berusia 15 tahun.
Walaupun pergerakannya tidak lagi segagah dahulu apabila usia mencecah 79 tahun, beliau masih aktif bermain pelbagai alat muzik seperti piano, gitar, biola dan harmonika dalam majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, program kemasyarakatan serta amal kebajikan.
Berasal dari Alor Setar, Kedah, Pak Wan cukup dikenali sekitar Cheras khususnya di Bandar Tun Hussein Onn. Beliau sering bergandingan dengan rakan baiknya, Nik Mahiro Nik Mohamed, 70, atau Pak Nik, bagi menghiburkan pelanggan di restoran menerusi persembahan busking.
Gandingan mereka yang dikenali sebagai ‘Otai Busker’ sering memukau penonton dengan alunan lagu-lagu evergreen Melayu seperti Harapan Kecewa, Halimun Malam, Pujaanku, Hanya Nyanyian, Kelohan Dara, Kenangan dan Fatwa Pujangga.
Menurut Pak Wan, minatnya terhadap muzik bermula sejak remaja apabila beliau mula belajar bermain gitar sebelum mengikuti pembelajaran piano secara formal sehingga gred lima ketika berusia 24 tahun. Kemahirannya turut diasah oleh arwah bapanya yang mahir bermain biola.
“Ketika Tingkatan Lima saya menyertai kumpulan muzik Stringendos sebagai pemain gitar dan pernah menyertai pertandingan juara kugiran pertama RTM menerusi rancangan Muzik Muzik Muzik pada tahun 1967, namun hanya sampai ke peringkat separuh akhir,” katanya.
Beliau berkata, apabila usia mencecah 55 tahun, kemahirannya dalam bermain piano, gitar, biola dan harmonika semakin berkembang sehingga sering menerima jemputan membuat persembahan di hotel sekitar Lembah Klang, majlis kerajaan, swasta dan juga istana beberapa negeri.
“Kerana terlalu minat dengan muzik, saya tidak dapat kekal lama bekerja di beberapa agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat swasta.
“Bagi meneruskan kehidupan, saya membuka Annuares Restoran di Alor Setar yang turut menjadi lokasi saya aktif bermain muzik secara busker,” katanya.
Tambah beliau, sekitar tahun 2003, beliau sering dijemput membuat persembahan sama ada secara solo atau berkumpulan termasuk mengiringi artis popular seperti Siti Nurhaliza dalam majlis orang kenamaan dan kementerian kerajaan.
Pak Wan berkata, sehingga kini beliau masih menerima jemputan persembahan dan akan mengajak rakan-rakan lama seangkatan untuk turut serta jika membuat persembahan secara berkumpulan.
Menurutnya, bermain muzik memberi ketenangan jiwa dan menjadi terapi kesihatan terutama apabila melihat orang ramai termasuk generasi muda terhibur serta turut menyanyi bersama alunan muzik dimainkan.
Beliau mengakui kehilangan isteri dan anak lelakinya yang mahir bermain saksofon beberapa tahun lalu amat memberi kesan, namun sokongan orang ramai menerusi aktiviti busker sedikit sebanyak mengubati kesedihan yang ditanggung.
“Pak Nik menjadi teman rapat saya setiap kali ada jemputan kerana dia mempunyai suara yang sesuai membawa lagu evergreen Melayu dan sering mendapat pujian golongan lama.
“Selagi ada kudrat, saya akan terus memenuhi undangan bermain muzik untuk menghiburkan orang ramai kerana ia juga menjadi terapi kesihatan buat kami,” katanya.-SAHIH.
