MATI TERKENA TEMBAKAN RAKAN KETIKA BERBURU
MATI TERKENA TEMBAKAN RAKAN KETIKA BERBURU
KENINGAU – Seorang lelaki maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh rakannya secara tidak sengaja ketika mereka pergi berburu di kawasan kebun Kampung Sunsuron, Tambunan kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang berusia 20 tahun itu maut di lokasi kejadian dengan beberapa kesan tembakan pada bahagian tubuh.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, sebelum kejadian mangsa dan suspek berusia 25 tahun melakukan aktiviti berburu di kawasan terbabit.
“Suspek dipercayai tertembak mangsa ketika memburu hingga mengakibatkan mangsa cedera pada bahagian lengan dan badan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tambunan untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor KOSMO online
Mengulas lanjut, Shahrudin memaklumkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau menahan suspek pada hari yang sama selepas bertindak atas maklumat diterima.