Foto: Kemalangan jalan raya di KM55, Jalan Central Spine (CSR) yang meragut nyawa seorang guru, petang semalam.
Guru SMK Gaal, Pasir Putih maut dalam kemalangan di CSR, Lipis
LIPIS – Seorang guru yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal, Pasir Putih, Kelantan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 55, Jalan Central Spine (CSR) Lipis ke Merapoh dekat sini pada jam 5.50 petang semalam.
Guru tersebut, Faudin Ibrahim, 59 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Corolla Altis, nombor plet WB606G turut ditemani isterinya dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Pasir Putih.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dipercayai pemandu kereta itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan serta melanggar besi penghadang jalan.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Faudin dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar besi penghadang.
“Akibat kemalangan ini, pemandu kereta itu maut di tempat kejadian manakala isterinya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, punca kematian belum diketahui kerana sedang menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 sebelum dibedah siasat.
“Kereta Toyota Corolla Altis yang dipandu mangsa mengalami kerosakan bahagian hadapan dan calar di sebelah kiri. Kejadian ini berlaku di jalan lurus, dua lorong satu hala dan garisan putus-putus sebagai pembahagi lorong serta keadaan cuaca baik dan jalan kering.
“Kes kemalangan itu akan disiasat di bawah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Rumah mangsa yang terbakar di Felda Jengka 10, pada 23 Jun lalu.
Warga Felda kutip sumbangan bantu mangsa rumah terbakar di Felda Jengka 10
JERANTUT – Warga Felda Jengka 10 membuat kutipan sumbangan untuk membantu keluarga mangsa kejadian rumah terbakar di Felda Jengka Sepuluh yang berlaku pada 23 Jun lalu.
Pengerusi Biro Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, keprihatinan warga Felda Wilayah Jengka sangat dipuji kerana turut membantu ‘keluarganya’ yang ditimpa musibah.
Razak Daud (kanan) menyerahkan sumbangan daripada warga Felda kepada mangsa rumah terbakar, Siti Aishah Nor. Turut serta Ketua Peneroka Jengka 10, Jantan Mat Saman (kiri)
“Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri dalam konsep Keluarga Malaysia yang salah satu sering membantu antara satu sama lain, khususnya yang ditimpa musibah, “katanya.
Ketua Peneroka Jengka Sepuluh, Jantan Mat Saman berkata, rumah itu milik Siti Aishah Nor yang berlaku kebakaran baru-baru ini.
“Sebagai keluarga Felda Jengka 10, kami turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga ini kerana rumahnya hangus dijilat api.
“Sebuah keretanya turut rosak di bahagian belakang kerana bahang yang yang terlalu panas berdekatan kereta itu semasa kejadian,” katanya.
Kepada yang sudi menghulurkan bantuan boleh salurkan kepada Nurul Amira Sazliana Basiran (anak mangsa rumah terbakar) di akaun Maybank 156-141-358-801 dan boleh hubungi di nombor 018- 8707687.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Treler masuk gaung, dua pemandu terselamat di Lebuhraya KLK
BENTONG – Dua orang pemandu treler warga tempatan terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 43.3, Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak, menghala ke arah timur pada 29 Julai, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dua pemandu treler tersebut masing-masing berusia 24 dan 30 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Bentong dan di hospital swasta.
Katanya, hasil siasatan, kejadian bermula sebuah treler dari Pelabuhan Klang menghala ke Kuantan dengan membawa muatan besi buruk telah hilang kawalan, treler itu terbabas dan terbalik kerana jalan licin kerana basah.
Kayu bergergaji tercampak di sekitar tempat kejadian. – Foto PDRM.
“Selang beberapa minit kejadian pertama, sebuah treler dengan membawa muatan kayu bergergaji dari arah belakang cuba mengelak ke kiri jalan.
“Akibatnya treler tersebut turut hilang kawalan dan melanggar batu penghadang jalan lalu terbalik dan masuk ke dalam gaung,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, kejadian itu dirakam dan turut tular di media sosial melalui akaun tik tok milik @eynaredho berdurasi 1 minit 18 saat.
“Pemandu lori treler besi buruk telah mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, tangan kiri dan kaki kanan dan mendapat rawatan di Hospital Bentong.
“Manakala, pemandu lori treler muatan kayu bergergaji pula mengalami kecederaan patah kaki dan tangan kanan, bahu kiri patah dan telah mendapat rawatan di hospital swasta,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, katanya, sebanyak 224 kes kemalangan yang berlaku KM 40 hingga KM50 yang dicatatkan sejak Januari hingga Julai 2022 yang melibatkan pelbagai jenis kenderaan.
“Kemalangan yang melibatkan kereta sebanyak 164 kes, motosikal (14), lori (22) dan lain-lain sebanyak 22 kes sepanjang tempoh tersebut.
“Pengguna lebuh raya ini diharap sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan dan tanda jalan raya jika ada di kawasan itu,”katanya.-SAHIH.
Video Tiktok milik milik @eynaredho.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Al Huda, BAKKTI, KRT, JPKK Taman Inderapura kumpul sumbangan
JERANTUT – Surau Al-Huda, Badan Kebajikan dan Khariat Kematian Taman Inderapura (BAKKTI), berjaya mengumpul sumbangan berbentuk makanan dan barangan dapur untuk diserahkan kepada golongan asnaf, semalam.
Turut serta memberi menyumbang untuk diagihkan kepada asnaf alah ahli Kawasan Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Penduduk dan Kemajuan Kampung (JPKK) Taman Inderapura.
Sumbangan dihantar ke Madrasah Tahfiz Al-Fatihah Kampung Bukit Genting dekat sini, semalam.
Pengerusi KRT Taman Inderapura, Rahmat Yusoff berkata, semua sumbangan itu hasil kutipan daripada penduduk taman itu yang dianggarkan 500 keluarga.
“Barangan berupa beras, susu, gula, tepung kicap, minyak masak, mi hoon, telor ikan bilis dan pelbagai barangan keperluan dapur.
“Sumbangan yang dikumpul itu dihantar kepada asnaf yang telah dikenalpasti serta Madrasah Tahfiz Al-Fatihah Kampung Bukit Genting dekat sini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemandu treler terselamat dalam kemalangan awal pagi di Lipis
LIPIS – Seorang pemandu lori kontena terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8, Jalan Lipis ke Merapoh berdekatan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis di sini, awal pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan jalan raya membabitkan lori kontena dengan muatan susu getah berlaku pada jam 1.50 pagi.
Anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Kuala Lipis sedang mengeluarkan pemandu yang tersepit di tempat duduk dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8, Jalan Lipis ke Merapoh. – Foto Balai Bomba Lipis.
“Lori treler itu terbabas dan terbalik ke dalam longkang sebelah kiri jalan ke arah Kuala Lipis dipercayai berpunca kerosakan di bahagian belakang kenderaan itu.
“Lori tersebut bernombor pendaftaran KEK 1216 dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa, Kelantan menuju ke Kelang ,Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pemandu lori kontena berkenaan telah tersepit di tempat duduk dan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Lipis dengan bantuan kren mengangkat lori kontena yang terbalik sebelum berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 4.30 pagi.
“Ketika kejadian, keadaan jalan raya berselekoh dan bahu jalan berturap manakala cuaca baik dan tidak hujan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut. Mangsa stabil dan cuma mengalami kecederaan ringan di bahu kiri,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH – Program Hari Potensi KEMAS yang membabitkan aktiviti kokurikulum Taman Bimbingan Kanak-Kanak ( TABIKA) kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun banyak memberi kejutan dan mengujakan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berkenaan.
Ini kerana kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun menyerlahkan bakat terpendam ketika menyertai pertandingan sempena hari berkenaan di peringkat daerah, Parlimen dan zon sebelum ke peringkat negeri dan kebangsaan.
Hari Potensi KEMAS diadakan secara bergilir tahun acara bakat dan sukan dianjurkan di peringkat zon, Parlimen,Negeri dan Kebangsaan menyerlah bakat kanak-kanak di peringkat ` akar`.
Acara bakat yang dipertandingkan antaranya boneka tangan, bercerita, Story Telling, Rekacipta, Tilawah & Terjemahan,Pidato, Nasyid,Tarian, dan Kompang Berformasi.
Acara Sukan pula ialah Futsal, bola jaring, rounders, Formula One, Sprint Hurdles (Lari Berhalangan), Gerak Kreatif yang menguji kemahiran minda dan fizikal.
Noah Ramadhan,6 (kiri), memiliki bakat dan kemahiran luar biasa dalam permainan bola sepak bersama rakan sepasukannya
Seorang bapa Khirrul Nirwan Bahaudin,43, mengaku terkejut dan teruja apabila melihat anak kedua Noah Ramadhan,6, memiliki bakat dan kemahiran luar biasa dalam permainan bola sepak.
Menurutnya, dalam perlawanan futsal anak saya dapat mengawal bola dengan baik dan meledakkan beberapa gol setiap perlawanan walaupun berusia enam tahun.
“ Terima kasih kepada guru KEMAS dan jurulatih kerana dapat mencungkil bakat permainan bola sepak yang saya sendiri tidak pernah menjangka.
“ Bakat anak saya itu mungkin mengikut jejak saya sebagai atlet sukan lumba basikal semasa remaja pernah mewakili Pahang dalam Sukan Malaysia,“ katanya.
Seorang lagi bapa Ahmad Fadzil Mat Piah,35, berkata, aktiviti yang dijalankan KEMAS selain mencungkil bakat dapat membentuk keyakinan diri, memberikan kecergasan mental dan ketangkasan fizikal dan mengembangkan minat.
Katanya, anak saya Putra Muhammad Harraz sering menonton perlawanan bola sepak di Astro sejak dahulu dan mengenal beberapa pemain bola sepak ternama dunia.
Seorang jurulatih bola sepak TABIKA Kemas Parlimen Temerloh Mohd Azhar Saad,35 berkata, pertandingan seperti ini dapat menggalak dan mengembangkan bakat, kebolehan, minat, kreativiti dan nilai estetika serta penguasaan pelbagai elemen kemahiran kanak-kanak.
Bagi seorang guru TABIKA Norsiah Abdullah,34, berkata program Hari Potensi menepati objektifnya iaitu memupuk dan mengukuhkan nilai-nilai murni, keyakinan diri, kecergasan mental dan fizikal, sikap bertolak ansur, kerja berpasukan serta menghargai warisan budaya dalam diri kanak-kanak.
“ Disamping aktiviti bersepadu seperti ini dapat menyediakan ruang kepada ibu bapa/penjaga mengenalpasti potensi serta perkembangan diri kanak-kanak dari aspek sosio-emosi, fizikal, intelek dan rohani,“ katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan Komoditi, Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, KEMAS telah berjaya memupuk nilai-nilai murni, membentuk keyakinan diri lebih awal di kalangan generasi muda Malaysia.
Beliau memuji KEMAS sentiasa membuat penambahbaikan dalam aspek kokurikulum dan kaedah pembelajaran TABIKA mengikut peredaran masa abad ke-21.
“Kanak-kanak sejak berusia sangat muda telah bersedia menghadapi cabaran globalisasi dan generasi yang berdaya saing, berjiwa kental, patriotik,“ katanya ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang di SK Bukit Cermin Mentakab hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kubur Mat Kilau di Kampung Kedondong, Jerantut.
Kubur dan galeri Mat Kilau didatangi pengunjung dari luar Pahang
JERANTUT – Penangan filem Mat Kilau menyebabkan ramai pengunjung dari luar Pahang memilih menziarahi kubur Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau di Kampung Kedondong dekat sini.
Sharul Nizam Ishak ( ) dari Bangi, setelah menonton filem yang sudah mengutip lebih RM80 juta itu, terkait jiwa ini untuk menziarah kubur Mat Kilau di Jerantut.
Orang ramai meletakkan kenderaan masing-masing di tepi jalan untuk menziarahi kubut Mat Kilau di Kampung Kedondong, Jerantut
“Kekuatan filem yang mengisahkan pahlawan Melayu menentang penjajah British pada abad ke-19 itu, saya mengambil peluang melawat kubur ini pada cuti hujung minggu ini bersama isteri saya.
“Isteri saya berasal dari Perak juga teringin untuk melawat kubur ini bersama empat orang anak berusia antara 11 hingga 15 tahun,” katanya.
Katanya, Pahang terkenal dengan tempat peranginan Taman Negara Kuala Tahan, Cameron Highlands danGenting Highlands, termasuk pantai Teluk Chempedak tapi kali ini turut sama menjiwai cerita filem tersebut ke Kampung Kedondong.
Isterinya, Nor Aziyah Abdullah berkata, bagus juga fenomena filem Mat Kilau mula mengingatkan rakyat negara ini tentang sejarah kepahlawanan Melayu menentang penjajah British, perlu perbanyakan cerita seperti ini.
Sharul Nizam Ishak (2 dari kanan) bersama isterinya, Nor Aziyah Abdullah (kanan) berasama empat orang anak di hadapan pusara Mat Kilau, Kampung Kedondong, Jerantut, hari ini.
“Setelah menonton filem tersebut, anak-anak saya mula beria-ria mengajak ke kampung ini untuk melihat kubur Mat Kilau dan kesan sejarah tokoh ini dengan lebih dekat kerana tidak puas menonton berikutan adegan perjuangan Mat Kilau di beberapa lokasi sahaja.
“Apabila sampai di sini, baharulah anak saya berpuas hati setelah menziarahi kubur ini dan dapat menyedekahkan surah Al Fatihah untuk tokoh pahlawan ini,” katanya di Kampung Kedondong dekat sini hari ini.
Katanya, filem kebangkitan pahlawan Melayu berdasarkan sejarah memberi kesan kepada rakyat khususnya orang Melayu terutama kanak-kanak.
“Bagus juga selepas melawat kubur Mat Kilau, masjid lama Pulau Tawar tempat Mat Kilau mengisytiharkan diri pada 1969, tapak rumah kelahiran Mat Kilau, Galeri Mat Kilau di Bukit Rang, Gua Bersejarah Kota Gelanggi dekat sini serta Laman Mat Kilau di bandar Jerantut turut memberi maklumat sejarahnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Kedondong/Masjid, Mohd Rozi Rozuki berkata, sehingga ini ramai pengunjung dari luar singgah ke kawasan kubur Mat Kilau, Galeri Mat Kilau dan beberapa buah tempat sejarah di situ.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Dr Mohd Shukri Ab Yajid (enam dari kanan) dan Ravshan Usmanov (empat dari kiri) bersama-sama sebahagian anggota Kumpulan Kebudayaan Uzbekistan
MSU kongsi nilai tradisi dan kerjasama bersama Uzbekistan
Management and Science University (MSU) di Shah Alam memperkasa hubungan antara dua negara, Uzbekistan dan Malaysia dalam berkongsi nilai, tradisi dengan pendidikan sebagai faktor perubahan yang utama.
Kunjungan delegasi kebudayaan Uzbekistan ke MSU itu juga adalah signifikan dalam meraikan 30 tahun hubungan diplomatik antara dua negara yang bermula dengan pembukaan pejabat kedutaan Malaysia di Tashkent pada 1992.
Persembahan tarian Kumpulan Kebudayaan Uzbekistan memukau ramai tetamu yang hadir termasuk pelajar.
Pengurus Komunikasi & Penjenamaan MSU, Ahmad Ibrahim, berkata ‘MSU International Cultural Festival’ (Festival Kebudayaan Antarabangsa MSU) merupakan inisiatif bagi memberikan pendedahan kepada pelajar untuk menghargai seni serta persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama khususnya Uzbekistan.
Majlis berkenaan dihadiri Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov.
Turut hadir pengurusan kanan MSU, wakil kedutaan Uzbekistan di Malaysia, pelajar serta kumpulan penari kebudayaan Uzbekistan yang didatangkan khusus ke Malaysia.
Ahli MSU Performing Arts and Cultural Club mempersembahkan tarian tradisional pelbagai etnik di Malaysia.
Kebudayaan Uzbekistan yang unik serta kaya dengan nilai sejarah menyaksikan tarian dari negara Balkan itu sudah tersenarai dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco) di bawah kategori warisan budaya tidak ketara dunia.
Selain itu, beberapa khazanah Uzbekistan lain yang turut tersenarai dalam Unesco termasuk daerah tenggara Boysun, muzik Shahmaqom, hidangan tradisional Palov, Askiya (seni budaya) dan lagu tradisi Katta Ashula.
Ahmad berkata, di samping itu pada majlis berkenaan turut menyaksikan persembahan tarian tradisional mengikut pelbagai etnik di Malaysia yang telah dipersembahkan oleh ahli MSU Performing Arts & Cultural Club (PACC).
Kata Ahmad lagi, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang seminggu delegasi Uzbekistan berada di MSU dalam mempromosikan kepelbagaian kebudayaan termasuk persembahan tarian tradisional, bahasa Uzbek, serta pameran pakaian kebangsaan.
“Kerjasama pintar MSU di Uzbekistan merentasi bidang Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan, Pensijilan Halal, Latihan, Pertanian dan Penternakan.
“Manakala dalam bidang pendidikan pula menyaksikan kolaborasi MSU dengan rakan universiti di Uzbekistan seperti Navoi State Pedagogical Institute , Bukhara State University, Bukhara State Medical Institute serta Samarkand State Institute of Foreign Languages,”katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Azhar dan sukarelawan BADIM mengagihkan daging korban dan barangan dapur kepada penduduk fakir miskin yang menghuni di atas perahu usang.
Persatuan Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (BADIM) meneruskan Program Ibadah Korban & Aqiqah dan Ziarah Kasih di daerah Kampung Chennang, Kemboja pada hari raya pertama Aidiladha baru-baru ini.
Program itu berjaya hasil penyertaan ramai peserta termasuk kakitangan UDA yang menyertai ibadah korban serta aqiqah dan penyumbang selepas mula diadakan sejak 2016 sebagai usaha murni membantu mereka kurang bernasib baik di negara berkenaan.
Sebahagian penduduk fakir miskin dan daif dari daerah Kampung Chennang dan sekitar hadir untuk menerima agihan daging korban dan barangan dapur.
Ini mungkin contoh terbaik bagaimana aspirasi Keluarga Malaysia boleh bergerak pada peringkat serantau dan antarabangsa.
Pada tahun 2022 ini, program itu disertai lima sukarelawan BADIM termasuk Timbalan Yang Dipertuanya, Azhar Yop dan penyelaras program, Zainol Khalid bagi melihat serta menyelia sembelihan 43 lembu dan 14 kambing yang selesaikan dilakukan pada hari berkenaan.
Azhar berkata, ratusan penduduk yang menetap di desa sekitar daerah Kampung Chennang iaitu seperti Chrok, Kratie, Tralach, Chhlong, Chong Lah, Phnom Penh dan daerah Kampot hadir bagi menyertai gotong-royong menyembelih, melapah daging, memotong tulang, membungkus, mengagih daging korban dan sebagainya.
Menurutnya, walaupun tidak dapat mengadakan program berkenaan dalam tempoh tiga tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, penduduk tidak berasa kekok menerima kedatangan mereka yang mungkin ada sesetengah daripada mereka sudah mengenali sukarelawan BADIM sebelum ini.
Penduduk daerah Kampung Chennang dan sekitarnya di Kemboja bergotong-royong melapah dan membungkus daging korban dalam Program Ibadah Korban & Aqiqah dan
“Semua kerja penyembelihan korban dapat dilakukan dengan mudah serta cepat walaupun bilangan lembu dan kambing yang banyak termasuk proses agihan kepada keluarga fakir miskin dan daif dapat diselesaikan pada petang hari yang sama.
“Paling bermakna kepada kami daripada BADIM apabila ibadah korban tahun ini (2022) turut disertai ramai pemimpin masyarakat, wakil rakyat serta menteri daerah terbabit,” katanya.
Azhar berkata, dianggarkan lebih 400 bungkusan daging lembu dan kambing dapat diedarkan kepada keluarga fakir miskin dan daif termasuk 200 keluarga turut menerima barangan dapur seperti beras, gula, tepung dan sebagainya hasil lebihan duit korban dan infak orang ramai.
Jelasnya, selain penduduk fakir miskin serta daif yang menetap di kampung berkenaan, agihan daging korban dan barangan dapur turut diberikan kepada 15 keluarga yang menghuni perahu usang di Kampung Chong Kah.
Menurutnya, kesempatan itu juga digunakan oleh BADIM untuk mengunjungi sekolah tahfiz di Chhlong dan Kratie bagi menyerahkan pelbagai sumbangan barangan dapur serta keperluan harian kepada pelajar di sekolah berkenaan yang mengambil masa perjalanan selama enam jam melalui jalan tanah merah dari daerah Kampung Chennang.
“Walaupun penat mengharungi pelbagai halangan kami sukarelawan BADIM berasa bersyukur kerana dapat menyempurnakan amanah rakyat Malaysia yang menyertai ibadah korban serta yang memberi sumbangan.
“Jika ada rezeki kami akan turun lagi pada tahun depan (2023) bagi menyempurnakan program ini kerana di negara berkenaan ramai penduduk fakir miskin serta daif yang wajar dibantu kerana ada antara mereka sukar untuk menikmati daging,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Nazri Ahmad – Pencipta lagu tema hari kebangsaan yang dilupakan
Mengimbau kembali kepada Nazri Ahmad, salah seorang pencipta beberapa lagu tema hari kebangsaan dan musabaqah peringkat kebangsaan pada era 1970an hingga 1980an yang dilupakan dan kini tinggal sendirian di Semenyih, Selangor.
Nazri Ahmad bersama beberapa sijil dan ijazah yang diperolehinya.
Beliau hanya dikenali oleh pendidik khususnya graduan pendidikan muzik daripada Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) atau sekarang dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur.
Orang awam tidak mengenali siapa Nazri Ahmad yang telah mencipta beberapa lagu tema hari kebangsaan seperti Ketahanan Rakyat (1976), Bersatu Berdisplin (1979), Amanah Asas Kejayaan (1984) dan Bangsa Tegas Negara Teguh (1986).
Dimaklumkan lebih satu dozen lagu tema hari kebangsaan dan lagu tema musabaqah bekas tangannya didendangkan tetapi penulis tidak dapat ‘mengesannya’ melalui carian di internet kerana hanya senarai tema, tajuk lagu dan logo hari kebangsaan dan tahun sahaja dipaparkan.
Nazri Ahmad dilahirkan pada 3 Juna 1935, di Batu Gajah, Perak
Beliau dilahirkan pada 3 Jun 1935 di Batu Gajah, anak kedua daripada 10 beradik, kini tinggal berseorang di sebuah rumah di Semenyih dengan hanya menonton televisyen khususnya rancangan berita.
Nazri, lulusan sarjana muzik daripada Universiti Northwestern, Chicago pada 17 Jun 1978 dan sebelum itu mengikuti pengajian selama empat tahun di Royal Academy Music London serta berjaya memegang segulung ijazah sarjana muda.
Selain itu, beliau turut lulus Trinity College of Music London untuk dianugerah diploma perguruan pada April 1970 serta memperolehi Licentiate Diploma daripada A Royal Academy Music London pada 1 Julai 1971.
Masih boleh bermain piano dengan baik.
Bermula dengan peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1955, Nazri sempat mengambil peperiksaan A Royal School Of Music (ABRSM) Gred Lapan pada usia 19 tahun sebelum ditawarkan mengikuti latihan perguruan di Brinsford Lodge pada 1955.
Brinsford Lodge ialah sebuah kolej latihan guru untuk pelajar Malaysia pada pertengahan 1960an sehingga awal 1980an dan terletak di Staffordshire, Featherstone, kira-kira 8 kilometer (5 batu) di utara Wolverhampton.
Selepas tamat pengajian di Brinsford Lodge, beliau memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Rendah Kebangsaan di Kepala Batas, pada Januari 1958 dan kemudian ditukarkan ke sebuah sekolah di Pulau Pinang.
Kemudian Nazri Ahmad mula berkhidmat di IPGKIK pada tahun 1971 sehingga 1987, kemudian ditawarkan bertugas di Institut Teknologi Mara (ITM) di jabatan muzik pada 1988.
Jodohnya di ITM tidak lama dan kemudian beliau pernah ditawarkan untuk bertugas ke Indonesia dan Australia, tetapi jati diri dan bersemangat patriotik yang tinggi untuk tanahair, beliau terus kekal berkhidmat di negara ini.
Beliau berkata, setelah merantau ke Eropah dan Amerika Syarikat beberapa tahun, negara ini tetap di hatinya dan menganggap Malaysia sebuah negara yang terbaik di dunia.
“Kita perlu sanjung, jaga dan sayangi negara kita yang aman damai dengan pelbagai kaum dan agama.
“Sebagai pendidik, kita perlu pupuk semangat jati diri dan patriotik agar negara yang kita sayang ini sentiasa aman damai tanpa sebarang perbalahan,” katanya ketika melawti beliau di kediamannya di Semenyih, baru-baru ini
Berkaitan dengan pendidikan muzik di sekolah, beliau berharap subjek muzik perlu diperkasa dengan menitikberat budaya dan seni khazanah negara yang sedia ada dan wajar dijaga dan dipelihara.
“Muzik adalah bahasa universal, khusus kepada peringkat awal kanak-kanak untuk menyanyi lagu-lagu patriotik dan lagu kanak-kanak negara kita agar mereka membesar bersama budaya kita dan sentiasa ingat ketika di mana mereka berada.
“Selain itu, kanak-kanak yang berusia muda dengan melakukan gerakan tubuh badan menjadikan mereka (kanak-kanak) sentiasa cergas melalui muzik,” katanya.
Katanya, kepada masyarakat umum sewajarnya memahami dan menghargai asas muzik negara kita dan mengetahui seni budaya dan muzik tanah air yang sangat kaya seperti dondang sayang, ghazal, lagu-lagu asli dan pelbagai rentak muzik Melayu dan pelbagai kaum agar tidak pupus ditelan zaman.
Katanya, kegagalan seseorang dalam bidang seni muzik adalah kerana terlalu ‘tamak’ untuk cepat ‘glamour’ khususnya sebagai penghibur.
“Mereka (penghibur) perlu meningkatkan ilmu muzik tanpa rasa malu untuk bersaing di peringkat global, begitu juga pendidik muzik sewajarnya meningkatkan ilmu pendidikan muzik keguruan untuk mengajar dengan baik dan berkualiti.
Mencerita kenangan paling manis dalam kerjayanya, dapat memberi sumbangan untuk negara dengan mencipta beberapa lagu tema hari kebangsaan dan juga lagu tema musabaqah peringkat kebangsaan dengan kerjasama Pancaragam Polis Di Raja Malaysia (PDRM).-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!