Foto atas : Kereta yang terbabit dalam kemalangan itu yang menyebabkan dua maut di KM126, LPT arah Timur, pagi ini
Dua maut dalam kemalangan di KM 126, LPT arah timur
TEMERLOH – Seorang lelaki dan wanita maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah treler di Kilometer (KM) 126, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur pada jam 2.47 pagi, hari ini.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh telah bergegas ke tempat kejadian dan ketika tiba di tempat kejadian mendapati kereta tersebut terperesok di bahagian belakang treler itu.
Komander Operasi, PBKII Sharin Nazrin Ghazali melaporkan dua mangsa yang berada di dalam kereta Myvi itu tersepit dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dua yang maut itu yang berada di dalam kereta tersebut, Tan Wee Li (39) beralamat di Taman Dahlia, Cheras, Kuala Lumpur dan Nur Susilawati Che Deraman (35) beralamat di Taman Impian, Kuantan
Katanya, kedua-dua mangsa tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan alatan khas, kedua-dua mayat tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Dua lelaki yang berada di lori treler terbabit terselamat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pokok tumbang hempap rumah, sembilan sekeluarga terselamat
LIPIS – Sembilan sekeluarga terselamat dalam kejadian pokok tumbang dan menghempap sebahagian bumbung sebuah rumah di Kampung Lalang pada kira-kita jam 12.00 tengah hari, hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Lipis, Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Bin Yusof berkata, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menerima panggilan berkaitan kejadian tersebut dan pihaknya telah membantu membersih dan mengalih sisa pokok yang tumbang itu.
Anggota APM Lipis memotong pokok tumbang dan membersih sisa pokok itu dalam kejadian, hari ini
“Dalam kejadian hujan lebat itu turut berlaku hakisan tanah di kawasan berhampiran rumah itu, kita bersyukur, tiada berlaku kemalangan jiwa dan keluarga itu tidak dipindahkan ke tempat lain dan mereka masih berada di rumah itu.
“Agensi lain yang terlibat, Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Penghulu Mukim, Ketua Kampung dan penduduk kampung yang turut membantu membersihkan kawasan itu,” katanya
Sementara itu, rumah mangsa yang dihempap pokok, Ahmad Nazaruddin Abdullah (63) berkata, dia amat bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat.
“Ketika itu, saya dan keluarga sedang berada di bahagian lain di rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi kuat dan tidak tahu di mana bunyi dentuman itu berlaku.
“Tidak menjangka hujan lebat yang berlaku hari ini mengakibatkan pokok tumbang menghempap rumah dan berlaku hakisan tanah,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pasukan MSSD Jerantut muncul juara kategori 18 tahun MSS Pahang 2022.
Anak jurulatih Bola Baling Malaysia ke Sukan Asia 2018 dipilih pemain terbaik MSS Pahang 2022
JERANTUT – Muhammad Irham Hijazi Shamsul Nizam dipilih sebagai pemain terbaik kategori bawah 18 tahun lelaki di Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSP) Pahang 2022 yang diadakan di Gelanggang Futsal Majlis Daerah Raub, Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Ching, Raub, baru-baru ini.
Muhammad Irham Hijazi Shamsul Nizam (kanan) dipilih pemain terbaik kategori bawah 18 tahun kejohanan MSSP 2022.
Pemain terbaik itu anak kepada jurulatih pasukan Bola Baling Sukan Asia di Jakarta 2018, Shamsul Nizam Muhammad Ali yang mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut dan bersekolah di Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang, Jerantut.
Juruteknik Pemainan Bola baling MSSD Jerantut, Mohd Fekry Yahya berkata, Muhammad Irham Hijazi, selain bermain untuk pasukan MSSD Jerantut sejak berusia 11 tahun untuk mewakil pasukan bawah 12 tahun lelaki, dia turut bermain dengan pasukan Kelab Bola Baling Jerantut pada usia 13 tahun dan turut bermain dengan pasukan Phantom yang berpengkalan di Kuala Lumpur.
“Pengalamannya bermain sukan ini bermula usia 11 tahun mematangkan permainannya serta dapat membantu pasukan MSSD Jerantut untuk muncul juara.
“Dia yang bermain dengan kelab bola baling Jerantut dan di Kuala Lumpur turut meningkatkan kemahirannya serta kematangan dalam permainan, dia juga adalah aset MSSP Pahang ke kejohanan MSS Malaysia yang bakal diadakan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, pasukan MSSD Jerantut muncul juara di kejohanan itu bagi kategori Bawah 18 lelaki dengan menewaskan MSSD Raub dengan jaringan tipis 12-10. Tempat ke-3 MSSD Lipis, dan MSSD Bentong tempat ke-4.
Bagi kategori 18 tahun perempuan, MSSD Lipis muncul juara selepas menumpaskan MSSD Kuantan dengan jaringan 10-5, tempat ke-3 pasukan MSSD Raub dan tempat ke-4 MSSD Bera.
Kategori 12 lelaki, MSSD Kuantan menang tipis menewaskan pasukan Jerantut (7-6) untuk muncul juara, manakala tempat ketiga MSSD Lipis yang menewaskan Temerloh untuk tempat ke-4.
Pasukan MSSD Lipis muncul juara bagi kategori bawah 12 perempuan menewaskan MSSD Temerloh dengan jaringan (12-4) dan MSSD Maran tempat ke-3 dan MSSD Jerantut tempat ke-4.
Pemain terbaik bagi kategori 18 perempuan, Siti Sarah Rozali (MSSD Kuantan), kategori lelaki 12 tahun, Muhammad Muaz Abdul Mutalib (MSSD Kuantan) dan Yuranika A/P Bah Yo dari MSSD Lipis dipilih sebagai pemain terbaik kategori perempuan 12 tahun. Johan keseluruhan MSSD Lipis.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : 40 pelajar Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia, merakamkan kenangan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, selepas membuat kajian komuniti, baru-baru ini.
Pelajar MSU dan Universiti Surabaya lakukan kajian warga emas
SEMENYIH – Management and Science University (MSU), Shah Alam dan 40 pelajar perubatan Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia melakukan kajian berkaitan masalah komuniti khusus warga emas tersisih di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Kajian itu merupakan antara pembelajaran pelajar perubatan tahun tiga universiti berkenaan selama mereka meneruskan pengajian tiga minggu di MSU bagi melengkapkan kefahaman mengenai perubatan komuniti membabitkan warga emas terutama yang diabaikan keluarga.
Pensyarah Fakulti Perubatan MSU, Profesor Madya Dr Hazian Hamzah, berkata walaupun dalam tempoh yang agak singkat pelajar universiti berkenaan diberi peluang menyantuni warga emas di PJMM dalam usaha meningkatkan kefahaman mengenai masalah komuniti.
Gabriel Rio (tengah) bersama-sama rakan menanyakan beberapa soalan kepada seorang warga emas di PJMM.
Katanya, pelajar dibenarkan berinteraksi dengan mengemukakan beberapa soalan kepada warga emas terbabit seperti bertanya mengenai keperluan dan perhatian ditagih apabila usia sudah lanjut serta berada di pusat jagaan berkenaan tanpa mendapat perhatian keluarga.
“Semua ini akan membantu melengkapkan kajian mereka dalam memahami masalah komuniti apabila berada dalam lapangan sebenar dengan berkhidmat sebagai doktor di negara mereka nanti, “ katanya dalam ucapan ringkas pada majlis lawatan pelajar berkenaan.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado; dan Pensyarah Fakulti Perubatan MSU, Dr Hana Chen Weijun serta Dr Haryati Anuar.
Pensyarah Fakulti Perubatan MSU, Dr Hana Chen Weijun berkata, walaupun berlainan budaya tidak menjadi masalah kepada pelajar berkenaan untuk bertanya warga emas terbabit khusus membabit isu semasa yang berlaku di semua komuniti negara apabila anak berjaya tidak mampu untuk menguruskan ibu atau bapa.
Menurutnya, dengan bertanyakan masalah yang menimpa warga emas di PJMM itu memberi peluang kepada pelajar membuat perbandingan dengan nasib penghuni di pusat jagaan yang terdapat di negara mereka dalam kajian yang dilakukan.
“Sekurang-kurangnya apabila menjadi doktor nanti mereka akan dapat mengsyorkan sesuatu yang bermanfaat kepada pihak berkenaan langkah perlukan dilakukan untuk membela nasib warga emas yang disisih keluarga atau tiada waris bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Pelajar perubatan Universitas Airlangga, Surabaya, Gabriel Rio Widipriyatama berharap akan menjadi seorang doktor yang terbaik termasuklah memahami setiap masalah membebani warga emas khusus di negaranya sehingga ada disisihkan ahli keluarga.
“Oleh demikian kajian mengenai masalah masyarakat termasuklah mereka yang menghuni pusat jagaan penting untuk difahami kerana ada antara warga emas ini menghidap pelbagai penyakit dalam usia sudah lanjut,” katanya.
Rakannya, Azarine Ariqoh Asrofi Sidqon, pula berkata di negaranya menjadi kebiasaan ramai ibu, bapa atau warga emas yang uzur dijaga ahli keluarga bagi meneruskan kehidupan dan anak berusaha mengelak untuk menghantar ke pusat jagaan.
“Saya berasa seronok selama tiga minggu belajar di MSU dan di bawa ke pusat jagaan ini untuk mendalami permasalahan komuniti khusus warga emas tersisih yang sesetengah memberi jawapan berbeza dengan nasib yang menimpa mereka di Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PJMM), Azman Rasman akan sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak termasuk dari pusat pengajian tinggi yang ingin menjalankan aktiviti atau kajian mengenai warga emas di situ yang mendapat pembelaan secara percuma di pusat berkenaan.
“Kami mahu memastikan warga emas tersisih ini berada dalam keadaan gembira serta sihat sejahtera walaupun rata-rata antara mereka uzur selain dilupakan terus oleh waris termasuk yang berada dalam keadaan nazak,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sebahagian laluan runtuh dan tersekat dengan sebuah treler bermuatan bijih di tempat kejadian.-Foto Media Sosial.
Laluan KM30 Jerantut-Lipis runtuh, orang ramai berhati-hati
LIPIS – Orang ramai yang menggunakan laluan Kilometer (KM) 30, Jalan Jerantut- Lipis, diharap berhati-hati kerana telah berlaku hakisan dan tebing runtuh serta pembentung pecah dan sebahagian jalan itu runtuh berhampiran Kampung Tanjung Buluh, pada jam 2.00 petang, hari ini.
Keruntuhan laluan yang berlaku di Seksyen : 27.40 berdekatan Bengkel Motor Hasaan Tanjung Buluh mengakibatkan beratas-ratus kenderaan tergendala dan diarahkan menggunakan jalan alternatif.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, orang ramai yang berhasrat ke Lipis atau Jerantut perlu menggunakan laluan alternatif dan mengikut arahan papan tanda yang pasang.
Katanya, kawasan terlibat sepanjang 100 meter dan lebar 6.8 meter dan ditutup kepada semua kenderaan sementara kerja-kerja pengalihan lori dilaksanakan.
“Orang ramai menggunakan laluan alternatif dari arah Kuala Lipis perlu melalui FT234, Laluan Jerantut – Kuala Lipis sehingga C160, Jalan Limau Purut dan FT234, Laluan Jerantut Kuala Lipis.
“Atau boleh menggunakan laluan dari Kuala Lipis ke FT234, Laluan Jerantut – Kuala Lipis masuk ke 15030, Jalan Atung Jerangsang dan FT64, Laluan Maran Jerantut – Benta,” katanya.
Manakala laluan dari arah Jerantut ke FT234, Laluan Jerantut – Kuala Lipis, C160, Jalan Limau Purut dan FT234, Laluan Jerantut Kuala Lipis.
“Punca kejadian sebuah lori dengan muatan berat membawa bijih besi tersangkut pada penyambung paip air di kawasan tersebut.
“Sekarang pihak Roadcare sedang memasang papan tanda dan membuat lencongan jalan dan melakukan pemantauan di tapak serta membuat kawalan trafik dari semasa ke semasa,” katanya.-SAHIH.
Kawasan yang runtuh. -Video Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kerajaan negeri naik taraf bekalan air bersih di Kuantan, Raub
KUANTAN – Sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu bekalan air di daerah Kuantan dan Raub tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan untuk projek yang sama iaitu di Raub bernilai RM74.4 juta.
“Kos ini melibatkan kerja penggantian paip dan juga pembinaan tangki air serta menaik taraf sistem bekalan tersebut yang akan diselenggarakan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip)
“Antara punca utama masalah bekalan air di dua buah daerah ini iaitu mengalami tekanan air rendah pada waktu puncak, paip pecah, kekeruhan sumber air mentah dan juga tangki yang tidak mampu menampung kapasiti permintaan baharu,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan Kepegawaian Paip daerah tersebut di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, peruntukan bagi daerah Raub iaitu bagi kerja membina dan menyelenggara tangki, menaiktaraf rumah pam dan sistem paip untuk bekalan tersebut di luar dan pinggir bandar dalam masa terdekat.
“Kerajaan negeri menerusi Paip amat cakna dengan isu bekalan air di negeri ini dan sedaya upaya berusaha menyelesaikan masalah dengan mengambil langkah sewajarnya,” ujarnya.
Jelasnya, walaupun mengambil tempoh masa yang panjang, namun usaha berterusan tetap dilaksanakan agar semua rakyat menikmati bekalan air bersih secara terawat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pembantu kedai yang dicederakan oleh suspek yang masuk ke kedai itu, hari ini.
RAUB – Seorang pembantu kedai terselamat dalam kebakaran dan samun sebuah kedai runcit di Felda Tersang Satu, dekat sini, dalam kejadian antara jam 1.00 pagi hingga 2.00 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, berasaskan siasatan menerusi percakapan pembantu kedai yang cedera bernama Nur Hasanah dalam lingkungan usia 40-an, seorang lelaki bertopeng telah memanjat bumbung dan masuk kedai itu lalu menyerang mangsa dengan sebatang besi sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.
Katanya, pihak polis Raub sedang memburu seorang suspek yang terbabit dengan kejadian rompakan sehingga mencederakan seorang pembantu kedai dan perbuatan khianatnya membakar sebuah kedai runcit itu.
“Polis dari Balai Polis Cheroh telah menerima panggilan orang ramai mengenai kebakaran kedai tersebut kira-kira jam 4.00 pagi hari ini turut mengesahkan seorang pembantu kedai, iaitu warganegara Indonesia meminta tolong kerana mengalami kecederaan.
“Dalam kejadian itu , suspek turut melarikan wang tunai di laci kaunter kedai berkenaan berjumlah RM1,700 serta dua utas gelas emas milik mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa turut diikat dengan ‘musking tape’ oleh suspek dan terus membakar kedai runcit tersebut. Bagaimanapun, Nur Hasanah berjaya melarikan diri dan seterusnya meminta bantuan orang ramai.
Katanya, polis sehingga ini sedang menjalankan siasatan dan mengesan suspek sekitar Felda Tersang dan daerah ini. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 394/435 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak hingga mendatangkan cedera dan khianat dengan api.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto aTAS : Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama (SKTKU), M Khalimi Dalhan (duduk tengah) bersama-sama sebahagian murid dan guru pengiring yang berbusana Melayu serta bertanjak merakamkan kenangan sebelum bertolak ke Setia City Mall, Setia Alam, Shah Alam, untuk menonton filem Mat Kilau, baru-baru ini.
Guru dan murid SKTKU bergaya dengan busana Melayu dan bertanjak ketika berada dalam panggung.
Guru, murid SKTKU tonton filem Mat Kilau pakai busana klasik Melayu
KLANG – Guru dan murid Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama (SKTKU), Klang mengambil peluang menonton filem Mat Kilau yang ditayang di panggung wayang dengan memperkasakan aspek kognitif dan pengamatan murid melalui pembelajaran sejarah tidak formal.
Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan, berkata sebagai latihan atau tujuan kajian serta memenuhi keperluan untuk kefahaman intelektual, 80 murid dalam kalangan murid Tahun Lima dan Tahun Enam dengan ditemani lapan guru dibawa menonton filem berkenaan di Setia City Mall, Setia Alam, Shah Alam, baru-baru ini.
Katanya, langkah itu juga sebagai memberi peluang, penghargaan dan pengiktirafan kepada murid dalam mengembangkan potensi diri, bakat, minat selain kebolehan mereka di samping mendedahkan murid dengan persekitaran serta menyesuaikan diri dengan masyarakat.
“Pendedahan ini membantu dalam meningkatkan kemahiran berbahasa, komunikasi, pengamatan dan sosial iaitu mendengar, bertutur serta menganalisa melalui tayangan wayang selain menarik penyertaan murid dalam aktiviti seni yang merangsang minat mereka bertutur dan mendalami ilmu sejarah.
“Usaha ini amat bermanfaat kerana berhubung kait dengan silibus sejarah serta menyokong pembelajaran luar bilik darjah yang akan memberi keseronokan kepada murid dalam mengikuti pembelajaran di dalam kelas,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, untuk menghidupkan suasana serta menyemarakkan semangat, semua murid dan guru lelaki memakai busana Melayu dan bertanjak dengan diikuti guru pengiring wanita yang turut mengenakan pakaian wanita Melayu zaman dahulu ke panggung wayang berkenaan.
Murid dan guru SKTKU memberi tumpuan ketika menonton filem Mat Kilau.
M Khalimi berkata, usaha itu turut mendapat kerjasama serta sokongan ibu bapa daripada yang turut menyumbang bagi pembelian tiket wayang, pengangkutan, makanan dan minuman untuk murid selain menerima sijil penyertaan.
“Sebagai pentadbir dan bersama warga pendidik SKTKU sentiasa memikirkan pelbagai usaha untuk dilakukan demi meningkatkan kecemerlangan serta pencapaian dan yang paling penting mendatangkan keseronokan kepada murid untuk hadir ke sekolah setiap hari.
“Usaha membawa murid ini menonton filem Mat Kilau secara tidak langsung meningkatkan nilai patriotisme cintakan tanah air dan bangsa dalam diri murid yang wajar dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.
“Sebagai pendidik kami berasa bertanggungjawab melahirkan generasi yang cintakan kedaulatan negara, menjadi pembela kepada agama dan bangsa dalam apa jua keadaan yang mendatang,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : M. Azmi Jamhari bersama isterinya, Sharifah Rahanum melihat sebahagian bumbung dan atap ruang tengah rumah sewanya tercabut dibadai ribut di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang petang semalam.
JERANTUT – Tiga buah keluarga yang berdepan nasib malang apabila bumbung dan atap rumah diterbangkan angin kencang disertai hujan lebat dan petir dalam kejadian selama hampir sejam pada jam 6.30 petang semalam.
Salah seorang mangsa, M. Azmi Jamhari (47) berkata, dia dan sembilan orang anaknya berusia 3 hingga 25 tahun telah menyewa sejak empat tahun lalu antara mangsa yang rumahnya paling teruk dibadai ribut petang tersebut.
M. Azmi Jamhari menunjukkan sebahagian bumbung dan atap ruang tengah rumah sewanya tercabut dibadai ribut di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang petang semalam.
Dia yang bekerja sebagai peniaga sayur berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya sudah bersedia menunaikan solat Maghrib, manakala anaknya berada di ruang tamu dan dapur.
“Saya hanya menjangkakan berlaku hujan lebat yang bakal berlaku memandangkan ketika pulang ke rumah selepas berniaga keadaan cuaca nampak semakin mendung apabila terdengar bunyi petir yang kuat dan guruh di langit kemudiannya hujan lebat mula menyimbah.
“Tetapi tidak sangka rumah sewa ini yang saya diduduki bumbung diterbangkan dan tidak mampu melakukan baikpulih kerana kekangan kewangan,” kata di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini hari ini.
Katanya, awalnya angin bertiup tidak begitu kencang, mulai bertukar menjadi ribut sehingga bumbung dan atap zink rumah mula bergegar dan kedengaran bunyi yang kuat di bahagian atas,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini.
“Beberapa orang anaknya yang masih kecil bermain di ruang tamu berlari ke arahnya dengan perasaan takut.
“Satu demi satu papan bumbung bahagian dapur dan beranda terkopak dan kemudiannya atap diterbangkan ribut, saya sempat merakamkan kejadian ini sambil memeluk anak,” katanya.
Katanya, dia tidak tahu hendak menumpang teduh buat sementara, sebelum rumah sewa itu dibaikpulih.
Katanya, kejadian ini hanya beberapa minit sahaja menyebabkan keseluruhan bahagian bumbung ruang dapur, tengah dan beranda rumah sudah nampak ‘ternganga’ dan hujan mencurah masuk membasahi ruang dalam rumah.
Katanya, dia tidak tahu hendak menumpang teduh buat sementara, sebelum rumah sewa itu dibaikpulih, namun, dia bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan nyawa dan kecederaan ahli keluarganya.-SAHIH.
Klip video yang sempat dirakan M. Azmi
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jiran Wanita KRT Bandar Tun Hussein Onn laksana program pupuk ukhuwah
CHERAS – Dalam memastikan dapat melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan berjalan dengan lancar Jiran Wanita (Jiranita) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor untuk terus memupuk hubungan ukhuwah yang erat antara ahli-ahli.
Adibah Sukir (dua dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Jiran Wanita Suadamai BTHO yang gigih berusaha bagi memastikan Boling Ria 2022 dapat diadakan.
Bagi mencapai hasrat itu Jiranita terbabit menganjurkan Boling Ria 2022 dengan membabitkan 44 ahli dan komuniti wanita yang menetap di Zon Suadamai BTHO, di Megalanes Endah Parade, Kuala Lumpur pada 18 Jun 2022 lalu.
Semestinya aktiviti sedemikian bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia, yang mahukan masyarakat hidup dalam bersatu padu serta saling mengambil berat sesama sendiri.
Pengerusinya, Adibah Sukir, berkata selain bertujuan mengeratkan lagi hubungan setiakawan antara mereka apabila berada dalam satu organisasi juga menyahut seruan gaya hidup sihat yang diuar-uarkan oleh kerajaan.
Katanya, walaupun ada ahli daripada kalangan mereka yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa tetapi tiada masalah untuk duduk bersama berkongsi pelbagai maklumat serta pengetahuan terkini demi mengaktifkan Jiranita.
Pasukan Glamorous meraih hadiah pertama dalam peraduan pasukan berpakaian paling cantik.
“Usaha ini akan membantu ke arah melahirkan hubungan kejiranan yang sihat serta sentiasa ambil peduli jika ada perkara tidak diingini berlaku dalam kawasan kediaman demi keselamatan serta kesejahteraan hidup,” katanya.
Adibah berkata, program pertandingan boling berjalan dengan lancar dalam suasana permainan penuh ceria serta menghiburkan apabila setiap pemain yang masing-masing mengenakan pakaian mengikut tema pasukan diwakili.
Katanya, suasana menjadi gamat selepas setiap ahli selesai membuat pendaftaran kerana masing-masing membuat persembahan ‘trade mark’ pasukan yang diwakili dengan pelbagai gaya yang menghiburkan.
Menurutnya, dalam pertandingan membabitkan beberapa kategori diadakan itu bagi acara pemenang berpasukan diraihkan tempat pertama oleh pasukan Ewah-Ewah, kedua Iron Lady dan ketiga Happy-Happy Aja.
Bagi acara individu pemenang pertama ialah Puspawara, kedua Rohani dan ketiga Suziey. Manakala dalam peraduan pasukan pakaian tercantik digondol pasukan Glamorous, kedua Black Pink dan ketiga Ewah-Ewah.
Adibah berkata, menang dan kalah itu perkara biasa dalam satu-satu pertandingan tetapi yang paling penting program berkenaan berjaya menyemarakkan serta memupuk hubungan erat antara ahli Jiranita.
“Justeru program ini memberi suntikan semangat antara kami semua untuk terus bekerjasama dalam menjayakan sesuatu aktiviti kemasyarakatan dan amal kebajikan disamping memelihara imej KRT Suadamai BTHO,” katanya.
Turut hadir memeriahkan pertandingan boling itu Setiausaha KRT Suadamai BTHO, Che Nordin Ismail.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!