Kerajaan Pahang peruntuk RM1.6 juta bantu 25,000 KIR Orang Asli
Foto atas : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada Orang Asli.
PEKAN – Kerajaan negeri Pahang memperuntukan RM1.6 juta bagi menyediakan bantuan bakul makanan kepada 25,000 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata kerajaan Pahang di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa memberi perhatian kepada rakyat termasuk Orang Asli.
Katanya, program bantuan bakul makanan itu mengandungi minyak masak, gula, beras, biskut, mee segera, susu dan minuman antara bukti keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Kaum Orang Asli dianggap bertuah kerana sentiasa menerima pelbagai bantuan seperti makanan, kemudahan rumah, jalan dan kewangan.
“Kira-kira 5,000 KIR Orang Asli daerah ini menerima bakul makanan sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2022 yang disambut pada 9 Ogos lalu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, berkata demikian di Program Penyampaian Bantuan Bakul Makanan kepada KIR Orang Asli Kampung Permatang Keledang dan Kampung Permatang Siput, di sini kelmarin.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Polis Lipis tingkat kendali latihan bom asap persiapan PRU ke-15
Foto atas : DSP Idros Ismail (2 dari kanan) melakukan pemeriksaan alatan LSF.-Foto IPD Lipis.
LIPIS – Seramai 3 pegawai dan 31 anggota polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Lipis melakukan latihan pengendalian gas gun, penggunaan smoke gas dan peralatan lain bertujuan meningkatkan dan kemahiran dan persiapan anggota Light Strike Force (LSF) di Lapang Sasar Batu 9, Kerambit, dekat ini, hari ini.
Latihan itu diketuai oleh Timbalan ketua Polis Daerah Lipis, DSP Idros Ismail yang turut terlibat dalam latihan dalam perkhidmatan (LDP) Pemeriksaan Kit dan Latihan Ulangkaji Bom Asap Light Strike Force.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, pemeriksaan terhadap peti ubat, pengusung, CS Hand Granade, CS Shell Gas Gun, pembesar suara dan lain-lain peralatan LSF turut dilakukan.
Katanya, latihan itu sebagai membantu peningkatkan kecekapan anggota dan memasti peralatan diguna sentiasa dalam keadaan baik dan sempurna.
latihan kemahiran LSF di Lipis
“Pemeriksaan terhadap perisai polycarbonate , Cota Rotan, topi keledar anti rusuhan, topeng gas, senapang gas, tali senapang gas, Vest Cs Hand Granade dan Vest Cs Shell Gas Gun
“Latihan itu diteruskan dengan demonstrasi gas pemedih mata sebagai membantu meningkatkan lagi kecekapan anggota serta persiapan anggota menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU Ke-15) yang akan datang,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lori bijih rempuh lori siling kapur, sebuah MPV turut terlibat
MARAN – Sebuah lori bermuatan bijih timah yang datang dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori yang membawa muatan siling kapur di KM 147.3 hala ke Kuantan pada jam 10.00 pagi, hari ini.
Sebuah kenderaan MPV Honda CRV yang berada di belakang lori muatan siling kapur itu tidak sempat membrek turut merempuh lori tersebut.
Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran, PBK 11, Mohd Tarmizi Isa, melaporkan akibat kejadian itu seorang cedera dan 2 orang terselamat.
Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota BBP Maran tiba di tempat kejadian.
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan lanjut, seramai 6 anggota BBP dan sebuah jentera terbabit dalam operasi menyelamat tersebut, ” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Pembukaan semula Laluan FT 008 Jalan Bentong-Gua Musang berhampiran Kilang Lee Rubber, Bentong yang runtuh tahun lalu, kini boleh dilalui semula.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan pembukaan semula laluan tersebut, FT 008 Jalan Bentong – Gua Musang, Seksyen 16.00 daerah Bentong, Pahang.
Datuk Seri Wan Rosdy melakukan gimik pembukaan laluan itu, hari ini
“Saya merasmi pembukaan laluan ini dan siapnya laluan ini memberi kemudahan pengguna laluan ini, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) giat menjalankan kerja pembaikan cerun dan jalan dengan kos keseluruhan RM5.168 juta.
“Pada tahun lalu, berlaku runtuhan di jalan ini menyebabkan ia terpaksa ditutup untuk semua kenderaan, oleh itu kerajaan negeri prihatin dengan kemudahan orang ramai dan membaiki lalulan ini,” katanya.
Sabtu lalu, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof memaklumkan kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan itu dimulakan sejak 20 Januari lalu selepas berlaku runtuhan pada November 2021.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ketua Srikandi Bahagian Temerloh bersama 4 lagi letak jawatan
TEMERLOH – Ketua Srikandi Bahagian itu, Siti Aishah Ismail dan empat lagi telah menghantar surat peletakan itu kepada Ketua Pimpinan Negeri Pahang, Ketua Srikandi Pahang dan Ketua Srikandi Malaysia bertarikh 30 September 2022.
Naib Ketuanya, Suriati Daharin, Ahli jawatankuasa (AJK), Haslinda Hamzah, Maisarah Ismail (AJK) dan Pengerusi Tetap Srikandi Bahagian Temerloh, Hamiza Mohd Saat turut menyertai peletakan jawatan dan menghantar surat peletakan jawatan pada tarikh yang sama.
Desas-desus ini telah tersebar beberapa hari sebelum ini melalui media sosial dan satu pertemuan akan diadakan pada 5 Oktober, jam 8.30 malam dan tempat tidak dinyatakan.
Peletakan jawatan itu dipercayai berpunca kerana kerana tiada lagi persefahaman dengan kepimpinan peringkat bahagian.
Pada Julai lalu, Ketua ARMADA parti itu, Muhammad Faharuddin Hashim turut keluar parti dan menyertai Pemuda UMNO Bahagian Temerloh bersama 50 orang ahlinya pada Julai lalu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Abdul Fattah Abdullah (berdiri 4 dari kanan) dan Nazri Ngah (tengah) bersama ahli Koperasi WI Lipis Berhad di Kuala Lipis, Lipis hari ini.
Tambah peruntukan besar kepada SKM menerusi Bajet 2023
LIPIS – Kerajaan diminta mempertimbangkan peruntukan lebih besar kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam Bajet 2023 bagi merangsang pembangunan 14,834 koperasi di negara ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, SKM agensi yang membangunkan koperasi yang memerlukan peruntukan besar bagi membantu lebih 7.1 juta keanggotaan individu koperasi
”Kita berharap pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober memberi khabar gembira kepada gerakan koperasi di negara ini.
“Bajet besar kepada SKM dapat memacu pembangunan koperasi yang bilangan keanggotaan yang lebih besar berbanding Industri Kecil dan Sederhana (IKS),”katanya di sini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Wi Lipis Berhad (Kowilip) di Hotel Lipis Centrepoint, Lipis hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi Datuk Nazri Ngah
Menurut Abdul Fattah, peruntukan khas penting bagi membantu gerakan koperasi menjalankan aktiviti menjana perolehan koperasi.
Dalam hal ini katanya, sehingga ini hanya tiga kerajaan negeri termasuk Pahang yang boleh dijadikan contoh menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM1 juta kepada koperasi.
“Saya berharap dalam pembentangan Bajet 2023 lebih banyak peruntukan khas sekali ganda kepada koperasi sama ada di peringkat Pusat dan Negeri,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kerajaan teliti kedudukan pegawai di PPD dan JPN yang dinaikkan gred DG52 terjamin
JERANTUT – Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berharap kerajaan turut meneliti pegawai yang berada di gred DG48 yang berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan bahagian-bahagian KPM turut menerima faedah yang sama seperti guru besar.
Jasni Md Kechik
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, ada kes telah berlaku kepada pegawai gred DG48 yang berada di PPD dan JPN telah dinaikkan ke gred DG52 ditempatkan semula ke sekolah menjadi guru biasa.
“Kes begini memberi imej tidak baik kepada pegawai di JPN atau PPD selain GB dan GPK kerana anggapan masyarakat umum pastinya negatif terhadap pegawai yang turun ke sekolah.
“Saya menyambut baik kerajaan bersetuju supaya gred Guru Besar (khas untuk penyandang) dan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54, tetapi diharap melihat juga pegawai yang di gred sama di PPD dan JPN,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, sebelum ini dikatakan GB yang dinaikkan gred ke DG52 akan ‘turun pangkat’ menjadi guru biasa sebelum Perdana Menteri mahu jawatan itu dikekalkan sehingga gred maksima DG54 seperti diumumkan baru-baru ini.
“Peningkatan gred jawatan guru besar dan guru penolong kanan ini akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) berjawatan GB di seluruh negara.
“Secara tidak langsung, imej GB dan GPK terpelihara termasuk pegawai di PPD dan JPN seterusnya pengalaman mereka masih boleh diteruskan untuk mentadbir sesebuah sekolah,” katanya.
Katanya, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri (PM) memberi peluang guru besar Gred dilantik sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) di sekolah rendah tidak hanya terhad kepada Gred DG48 sahaja.
“GB Gred DG48 di sekolah rendah dinaikkan pangkat ke gred DG52 dan DG54 secara ‘time based’ Berasaskan Kecemerlangan (TTBK). Ketika ini kira-kira 92 peratus guru di sekolah rendah memiliki ijazah dalam skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah bermula dengan gred DG41,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Lokasi pertama Jelajah Merdeka 2022 SKTKU ialah SJK (C) Pin Hwa 2.
SKTKU jelajah sambut hari merdeka 2022
MENJELAJAH ke sekolah aliran berbeza tercetus daripada aspirasi Keluarga Malaysia menjadi Program Jelajah Merdeka 2022 Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama (SKTKU) dalam kesempatan memupuk semangat perpaduan yang diadakan pada September lepas.
Dengan menaiki bas, guru, ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid dari tahun satu hingga enam termasuk murid program pendidikan khas integrasi (PPKI) masalah pembelajaran SKKU mengunjungi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pin Hwa 2 diikuti selepas itu SJK Tamil (SJKT) Ladang North Hummock, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SKTKU, Habsah Simon, berkata idea program itu dicetuskan oleh guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, iaitu Nor Len Sudar dan Penolong Kanan Pentadbiran, Hazlina Ali, dalam suatu mesyuarat pengurusan yang asalnya bertujuan melawat ke sekitar daerah Klang dengan menaiki bas awam secara percuma.
Bagaimanapun, kata beliau, rancangan itu bertukar apabila perjalanan dengan bas berkenaan nanti akan merentas beberapa lokasi di Selangor dan bagi memanfaatkan sambutan kemerdekaan negara ke-65 selain menyuntik semangat patriotik di samping perpaduan dalam kalangan guru serta murid ia disesuaikan dengan mengunjungi sekolah terbabit, PPD serta JPNS.
“Kunjungan ini secara tidak langsung bertepatan dengan objektif utama program iaitu menyampaikan mesej kemerdekaan dengan menjelajah sekolah berbeza aliran serta jabatan yang terbabit. Program juga ingin membina jaringan serta jalinan dengan sekolah serta agensi yang berkenaan.
“Program ini juga umpama kesinambungan semangat guru dan murid yang belum luntur sebaliknya masih berkobar-kobar selepas dibawa menyaksikan filem Mat Kilau bulan (Julai) lalu dan emosi mereka itu disesuaikan bersempena dengan sambutan bulan Kebangsaan,” jelasnya.
Program jelajah itu dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SKTKU dengan kerjasama Unit Kurikulum, Unit PPKI, Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Sesi Petang. Unit Kokurikulum melestarikan perkara yang dicadangkan itu dengan idea bernas serta mengambil langkah merapikannya dan dilaksanakan bersama-sama unit lain.
Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan, berkata murid sangat teruja kerana mereka sudah lama tidak menyertai program lawatan seumpama itu kerana pandemik Covid-19 dan dalam program jelajah berkenaan murid dapat menambahkan pengalaman serta pengetahuan mengenai sekolah lain aliran yang ada di sekitar mereka.
Tambahnya, malah ada murid yang belum pernah ke lokasi terbabit dan mengembirakan sambutan daripada pihak dilawati sangat baik dengan menyantuni program kami serta berbesar hati menyediakan pelbagai aktiviti, membuat persiapan rapi walaupun masing-masing mempunyai komitmen tinggi.
Menurutnya, bagi guru pula mereka dapat berkolaborasi bersama sekolah, agensi serta jabatan lain yang akan membantu dalam pelbagai urusan pelajaran serta pembelajaran demi kemajuan serta pencapaian cemerlang murid.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pertandingan basikal berhias mencuit perhatian ramai pada program berkenaan.
WALAUPUN tinggal di pedalaman atau kampung terpencil bukan alasan bagi penduduknya untuk tidak sama-sama menikmati sebuah kemerdekaan dengan penuh kedamaian serta keamanan dan seterusnya dapat diwarisi pula kepada anak-anak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Tangkak, Johor, Sahrihan Jani, berkata negara pernah dijajah dan menghadapi pelbagai cabaran serta ancaman seperti kegawatan ekonomi di samping politik, namun rakyat seharusnya dapat bersatu untuk berganding bahu bersama pemimpin bagi menghadapi masalah.
Senamrobik disertai pelbagai peringkat umur peserta mendapat sambutan ramai.
“Dengan cara sebegini sahaja kita mampu menghadapi pelbagai cabaran itu dengan jaya tanpa membezakan fahaman politik yang dipegang demi kesejahteraan hidup pada masa depan dengan lebih cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Program Sahabat Komuniti Desa (SKoD), KEMAS Daerah Tangkak bersama Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sawah Ring, Bukit Gambir, Tangkak, baru-baru ini.
Sahrihan turut mengucapkan tahniah kepada semua masyarakat setempat khusus penduduk Kampung Sawah Ring yang sentiasa memberi kerjasama baik dalam setiap program kemasyarakatan yang diadakan dan beliau pula sering menghadiri aktiviti yang diadakan itu.
“Amat membanggakan Kampung Sawah Ring sudah menempa pelbagai kejayaan dan yang terbaharu apabila terbabit dengan pameran pada MAHA Serdang, Selangor baru-baru ini,” ujar beliau pada majlis yang turut dihadiri Pengarah KEMAS Negeri Johor, Zamri Mohamad dan Ketua Kampung Sawah Ring, Minhad Saidon.
Objektif Bulan Kemerdekaan dan SkoD diadakan itu adalah bagi menyemai semangat cintakan negara dan patriotisme, mewujudkan persekitaran kampung dalam suasana ceria pada Bulan Kemerdekaan, dan membina semangat perpaduan dan kekitaan serta silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Sempena program berkenaan ahli jawatankuasa terbabit menyusun pelbagai aktiviti untuk disertai penduduk termasuklah senamrobik, pertandingan basikal berhias, mewarna kanak-kanak, sepak raga bulatan, dart, bowling padang, gubahan lipatan tuala, memasak kuih lapis dan gotong royong memasang bendera.
Program itu turut diserikan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku, lagu patriotik seperti Jalur Gemilang, Keranamu Malaysia dan Tanggal 31.
Sementara itu, Zamri Mohamad ketika berucap berkata, SKoD merupakan satu program di bawah penyelarasan Jabatan KEMAS dan dilaksanakan di 182 kawasan Parlimen luar bandar bermula 2022 yang berperanan seperti rukun tetangga dengan fokus kepada komuniti luar bandar.
Menurutnya, jawatankuasa SKoD akan berperanan sebagai barisan hadapan ketika berlaku bencana seperti banjir dan sebagainya, manakala programnya seperti aktiviti kesedaran kesihatan, amalan gaya hidup sihat dan menangani isu keselamatan serta kebajikan penduduk kampung.
Jelasnya, selain itu program SKoD yang dianjurkan turut memberi tumpuan kepada memupuk semangat patriotisme seperti sambutan Hari Kebangsaan dan hari-hari kebesaran Islam.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemuda UMNO Lipis guna pendekatan ‘3A’ untuk pertahan tohmahan pembangkang
LIPIS – Pemuda Barisan Nasional (BN) menggunakan Pendekatan 3A ini, iaitu Aspirasi , Aktif dan Agresif yang digunakan menerusi platform media sosial untuk menangkis segala hujah pihak pembangkang dan isu yang digembargemburkan.
Pendekatan ini penting bagi memastikan kemenangan di setiap kawasan yang ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15 akan datang.
Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendekatan tersebut lebih menjurus kepada strategi yang perlu digunakan memandangkan Pemuda BN adalah jentera barisan hadapan parti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendekatan tersebut lebih menjurus kepada strategi yang perlu digunakan memandangkan Pemuda BN adalah jentera barisan hadapan parti.
“Strategi untuk mendekati pengundi terutama golongan muda dalam menganjurkan pelbagai program serta bantuan sokongan untuk golongan yang memerlukan.
“Pemuda UMNO tidak perlu lagi dalam suasana bertahan sahaja ,tetapi perlu agresif menyerang parti lawan yang sentiasa memainkan pelbagai isu termasuk menghentam pemimpin BN,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dihadiri seramai 50 orang Pemuda UMNO Lipis yang diketuai oleh Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor.
Katanya, strategi ini mampu untuk mengempur pembangkang kerana Pemuda UMNO sangat dekat di hatinya, kerana aktiviti politik beliau lahir dan bermula dari pemuda.
“Saya percaya banyak kita belajar daripada kekalahan pada PRU14 dahulu dan kemenangan dalam PRK yang lalu dan akan datang
“Saya sebagai Ketua UMNO Lipis merakamkan penghargaan kepada kepada semua Pergerakan Pemuda UMNO kerana mereka adalah wira kepada parti itu terbukti setia di saat suka dan duka serta tetap bangkit dalam kesusahan dan terus bertahan sehingga saat ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!