PAHANG BENTANG BELANJAWAN LEBIHAN
FOKUS UTAMA KEMAKMURAN RAKYAT
KUANTAN: Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan Negeri 2021 yang merupakan belanjawan lebihan iaitu sebanyak RM5.332 juta.
Bagaimanapun, bagi jumlah sebenar adalah bergantung kepada prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan pada tahun depan.
Menurut laporan Utusan Online, bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama belanjawan surplus itu diperoleh selepas kutipan hasil tahun depan dianggarkan berjumlah RM800.798 juta berbanding belanjawan mengurus berjumlah RM795.466 juta.
DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, anggaran perbelanjaan mengurus untuk 2021 meningkat sebanyak RM55.573 juta atau 7.5 peratus berbanding 2020.
“Bagi perbelanjaan pembangunan, peruntukan adalah RM201.915 juta. Ia melibatkan projek infrastruktur sejumlah RM109.415 juta dengan pembiayaan cara langsung manakala RM92.5 juta adalah daripada pinjaman kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air.
“Projek ini menyumbang 45 peratus daripada keseluruhan peruntukan projek pembangunan. Ini menunjukkan komitmen yang tinggi oleh kerajaan negeri dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dari segi bekalan air.
“Secara keseluruhan, anggaran perbelanjaan pembangunan untuk 2021 meningkat sebanyak RM81.165 juta atau 67 peratus berbanding tahun 2020,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2021 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kutipan hasil 2021 dijangka diperoleh daripada hasil tanah sebanyak RM452.285 juta, hasil perhutanan RM165.495 jutam, hasil air RM15.250 juta, Geran Kerajaan Persekutuan RM94.2 juta dan lain-lain hasil sebanyak RM73.568 juta.
Jelasnya, kutipan hasil negeri dijangka meningkat menerusi pelaksanaan lebih bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil tanah.
Beliau berkata, Belanjawan Negeri 2021 adalah bajet yang mengambil kira semua aspek dan cabaran dalam menghadapi COVID-19.
“Belanjawan 2021 turut memberi tumpuan kepada keselesaan dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan perbelanjaan pembangunan,” katanya.