Perak peruntuk RM300,000 tangani masalah haiwan jalanan
Perak peruntuk RM300,000 tangani masalah haiwan jalanan
IPOH: Kerajaan Perak memperuntukkan RM300,000 tahun ini bagi memperluas program pemandulan anjing dan kucing sebagai langkah jangka panjang menangani peningkatan populasi haiwan jalanan di negeri itu.
Langkah berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui Perak Pawsitive Initiative (Perak Pawsitive), sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kaedah tangkap dan lupus.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sejak diperkenalkan pada 2024, sebanyak 14 siri program dilaksanakan membabitkan pemandulan 2,402 anjing dan kucing.
Katanya, peruntukan tahun ini meningkat sekali ganda berbanding RM150,000 pada 2025 susulan sambutan menggalakkan serta keperluan memperluas pelaksanaan program berkenaan.
“Pada 2025, sebanyak RM150,000 diperuntukkan dan apabila melihat keperluan serta sambutan diterima, bajet tahun ini digandakan kepada RM300,000.
“Peruntukan itu digunakan untuk melaksanakan kempen, menyediakan subsidi, menganjurkan program pemandulan dan pendidikan kepada masyarakat,” katanya.
Menerusi inisiatif berkenaan, kerajaan negeri menyediakan subsidi RM80 bagi pemandulan anjing dan RM40 untuk kucing berbanding kos asal masing-masing RM180 dan RM120.
Setakat ini, empat klinik veterinar bekerjasama dengan Perak Pawsitive dengan sasaran pemandulan 50 anjing dan 70 kucing bagi setiap program.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut mengkaji pelaksanaan sistem pengesanan menggunakan cip mikro bagi mengenal pasti pemilik haiwan peliharaan.
Kaedah itu membolehkan maklumat pemilik, status vaksinasi dan pemandulan anjing direkodkan serta dihubungkan dengan sistem pelesenan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pelaksanaannya juga dijangka membantu mengesan pemilik tidak bertanggungjawab yang membuang haiwan peliharaan, namun cadangan itu masih pada peringkat kajian kebolehlaksanaan.
Kerajaan negeri turut mempertimbangkan penyelarasan syarat pelesenan anjing di semua PBT bagi memastikan pengurusan haiwan lebih berkesan.
Menurut kajian Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan Amerika Syarikat (ASPCA) dan Pertubuhan Perlindungan Haiwan Antarabangsa (IAPWA), anjing dan kucing betina yang tidak dimandulkan berpotensi melahirkan 12 hingga 18 anak setahun, sekali gus menunjukkan kepentingan kawalan pembiakan.-SAHIH
#Perak #HaiwanJalanan #ProgramPemandulan #KebajikanHaiwan
