RM600,000 rancakkan ekonomi kariah masjid di Pahang
RM600,000 rancakkan ekonomi kariah masjid di Pahang
PEKAN: Masjid di Pahang berpotensi menjadi pusat kegiatan ekonomi yang mampu menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat menerusi pengukuhan koperasi kariah di seluruh negeri.
Usaha itu mendapat suntikan apabila kerajaan Pahang memperuntukkan RM600,000 menerusi Inisiatif Makmur Pahang tahun ini bagi memperkasakan koperasi kariah masjid.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif berkenaan membolehkan masjid memainkan peranan lebih luas bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah menjadi pemangkin pembangunan ekonomi masyarakat setempat.
Katanya, pengukuhan koperasi mampu membuka peluang kepada ahli kariah untuk terbabit dalam kegiatan ekonomi yang memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti.
“Melalui koperasi, masjid bukan sahaja dapat mengimarahkan kehidupan beragama, malah berpeluang menjana aktiviti ekonomi yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada ahli kariah dan masyarakat setempat.
“Untuk itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 bagi menjayakan Koperasi Kariah Masjid menerusi Inisiatif Makmur Pahang bagi tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Multaqa Wa Takrim Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026 di AnCasa Royale, di sini.
Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Wan Rosdy berkata, institusi masjid sejak dahulu memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat termasuk menjadi pusat penyebaran ilmu, mengeratkan silaturahim serta membantu golongan memerlukan.
Menurutnya, usaha memperkasakan koperasi kariah masjid dapat memperluas sumbangan institusi berkenaan menerusi kegiatan ekonomi yang memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
Katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha itu selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang menekankan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menghargai kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang, Institut Koperasi Malaysia Zon Timur (IKMa) dan ANGKASA dalam menjayakan program berkenaan.
Wan Rosdy berharap komitmen berterusan semua pihak mampu menjadikan koperasi kariah masjid sebagai pemangkin ekonomi ummah, sekali gus memperkukuh peranan masjid dalam pembangunan masyarakat.-SAHIH
#Pahang #KoperasiMasjid #ANGKASA #EkonomiUmmah
