Empat ahli ‘Geng Ravi’ didakwa samun kabel ECRL bersenjata parang
Empat ahli ‘Geng Ravi’ didakwa samun kabel ECRL bersenjata parang
TEMERLOH: Empat lelaki yang dipercayai ahli kumpulan ‘Geng Ravi’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan bersenjatakan parang di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), awal bulan ini.
Kesemua tertuduh berusia antara 20 hingga 34 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara berkumpulan melakukan samun terhadap kabel dan besi kaki perancah (staging) milik projek ECRL dengan bersenjatakan sebilah parang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di stor bahan terpakai projek ECRL di Sri Tualang, di sini, pada malam 9 Oktober lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar manakala peguam Varunchelvam Manimuthu hadir bagi pihak pembelaan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan 3 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, kesemua tertuduh ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menerusi beberapa siri serbuan yang dijalankan antara 15 hingga 20 Oktober lalu.
Penahanan mereka dibuat bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun membabitkan kehilangan kabel dan besi kaki perancah milik projek ECRL berkenaan.-SAHIH
#GengRavi #SamunBersenjata #ECRL #MahkamahTemerloh
