Zahid nafi hubungan dengan Anwar tegang, BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan
Zahid nafi hubungan dengan Anwar tegang, BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hubungan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal baik, sekali gus menolak dakwaan kononnya berlaku perselisihan antara kedua-dua pemimpin itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, tidak timbul sebarang masalah sama ada secara peribadi atau rasmi, termasuk ketika menghadiri mesyuarat Kabinet serta program rasmi kerajaan.
“Saya tidak ada sebarang masalah sama ada dari segi peribadi atau secara rasmi. Yang penting bagi Barisan Nasional sebagai salah sebuah komponen di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah kestabilan politik di negara ini sehingga akhir penggal.
“Kami melakukan proses membuat keputusan dan juga mencapai keputusan secara profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bloomberg sebelum ini yang mendakwa hubungan kedua-dua pemimpin berkenaan semakin tegang sehingga mesyuarat Kabinet kebelakangan ini dikatakan berlangsung lebih singkat berbanding biasa.
Laporan itu turut mengaitkan dakwaan ketegangan berkenaan dengan keputusan Ahmad Zahid bahawa BN menentang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Ahmad Zahid berkata, pendirian BN untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal adalah jelas dan selaras dengan resolusi yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Menurutnya, kestabilan politik perlu terus dipertahankan bagi memastikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia tidak terjejas, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita tahu bahawa resolusi Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan bahawa kita berada di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia ini hingga tamat tempoh.
“Ini yang kami lakukan supaya terdapat kestabilan politik yang sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang permasalahan terutama daripada pelabur-pelabur luar negara,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan dakwaan kononnya berlaku masalah antara kepimpinan BN dengan Perdana Menteri tidak menggambarkan keadaan sebenar hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Ahmad Zahid Hamidi, Anwar Ibrahim, Barisan Nasional, BN, Kerajaan Perpaduan, UMNO, politik, kestabilan politik, Bloomberg
