Lebih 100,000 banjiri Putrajaya, sambutan berlangsung lancar
Lebih 100,000 banjiri Putrajaya, sambutan berlangsung lancar
PUTRAJAYA: Kehadiran lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini, hari ini, dengan keseluruhan acara berlangsung lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kejayaan mengendalikan sambutan berskala besar itu hasil perancangan rapi serta kesiapsiagaan pelbagai agensi yang terbabit sejak awal.
Menurutnya, faktor cuaca turut diberikan perhatian dengan kerjasama beberapa agensi teknikal bagi memastikan keselesaan dan keselamatan orang ramai yang hadir.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan 2026 berkata, antara agensi terbabit ialah Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).
Agensi berkenaan sentiasa memantau keadaan atmosfera serta bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan sekiranya diperlukan.
“Kita dapat saksikan lebih daripada 100,000 orang hadir dan tidak ada apa-apa insiden yang tidak diingini. Semua perancangan berjalan dengan baik dan cuaca sangat baik hari ini.
“Kita juga mengikut jadual seperti yang dirancang. Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada ramai yang datang.
“Ada yang datang dari Sandakan, Johor Bahru dan Jeli. Ramai datang dari seluruh pelusuk negara untuk sama-sama menyambut hari yang sangat bermakna, satu tarikh yang cukup keramat,” katanya.
Fahmi berkata, usaha menyemarakkan semangat perpaduan tidak terhenti selepas sambutan di Putrajaya apabila persiapan kini diteruskan bagi Sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.
Katanya, sambutan itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak.

“Kita akan adakan mesyuarat pada 5 September untuk meneliti perancangan akhir Sambutan Hari Malaysia,” katanya.
Menurutnya, pelbagai acara sampingan turut dirancang termasuk pameran sejarah pembentukan Malaysia di sekitar pusat konvensyen dan Plaza Merdeka.
Kemudahan trak makanan turut disediakan, manakala maklumat berkaitan program boleh diperoleh menerusi portal Merdeka360.
Penganjuran itu turut diharap dapat memperkukuh perpaduan nasional, memberi keselesaan kepada pengunjung serta membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Fahmi Fadzil, Hari Kebangsaan 2026, Putrajaya, 100000 pengunjung, Hari Malaysia 2026, Kuching, Merdeka360, perpaduan, pembenihan awan
