Anwar puji sambutan Hari Kebangsaan 2026, ‘great show’
Anwar puji sambutan Hari Kebangsaan 2026, ‘great show’
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Dataran Putrajaya sebagai antara persembahan terbaik selepas acara berlangsung penuh gilang-gemilang hari ini.
Beliau yang ditemui media sejurus selesai sambutan berkenaan turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit menjayakan acara itu.
“Alhamdulillah, great show. Thank you very much,” katanya ringkas.
Selepas selesai acara utama, Anwar turut meluangkan masa menyantuni rakyat yang memenuhi kawasan sekitar Dataran Putrajaya sejak awal pagi.
Dalam suasana meriah, orang ramai dilihat mengambil kesempatan mendekati Perdana Menteri untuk bersalaman dan merakam gambar kenangan.
Turut kedengaran sorakan daripada sebahagian pengunjung yang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri berhubung subsidi BUDI95.
Anwar kemudian terus bergerak menyantuni pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat yang membanjiri lokasi sambutan berkenaan sejak seawal jam 4 pagi.
Kehadiran orang ramai sejak sebelum Subuh itu menyaksikan kawasan sekitar Dataran Putrajaya dipenuhi pengunjung yang mahu mendapatkan lokasi terbaik bagi menyaksikan sendiri acara perbarisan dan persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, Hari Kebangsaan 2026, HKHM 2026, Dataran Putrajaya, Putrajaya, BUDI95, Perdana Menteri, sambutan kemerdekaan
