Saravanan didakwa terima rasuah lebih RM1 juta berkait kuota pekerja asing
Saravanan didakwa terima rasuah lebih RM1 juta berkait kuota pekerja asing
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima rasuah keseluruhan RM1.097 juta berkaitan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat, empat tahun lalu.
Saravanan, 58, yang juga Ahli Parlimen Tapah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut semua pertuduhan, beliau didakwa menerima suapan masing-masing berjumlah RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Bagi wang RM597,000, ia didakwa diterima menerusi sekeping cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan dan upah kepada Saravanan yang ketika itu Menteri Sumber Manusia untuk memberikan kelulusan terhadap permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di sebuah pusat peranginan golf di ibu negara, Jalan Telawi 3, Bangsar dan sebuah bank di Jalan Klang Lama, Taman Desa, masing-masing pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: M Saravanan, rasuah, kuota pekerja asing, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, SPRM, Menteri Sumber Manusia, TYKB Engineering, Vectica Resources, pekerja asing
