Malaysia takkan jadi tempat berlindung kumpulan ganas selatan Thailand
Malaysia takkan jadi tempat berlindung kumpulan ganas selatan Thailand
KUALA LUMPUR: Malaysia memberi amaran tegas bahawa mana-mana pihak yang memilih jalan kekerasan serta menolak proses perdamaian di selatan Thailand tidak akan dibenarkan menjadikan wilayah negara ini sebagai tempat berlindung atau bersembunyi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memandang serius perkembangan keselamatan di selatan Thailand dan kekal komited menyokong usaha mewujudkan perdamaian di wilayah berkenaan.
“Saya ingin tegaskan bahawa kita tidak akan membenarkan wilayah negara kita dijadikan tempat perlindungan dan juga persembunyian mana-mana pihak yang menggunakan kekerasan dan yang menolak proses perdamaian di selatan Thailand.
“Yang ini kita nak tegaskan, tak benarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan, Khamis.
Mohamed Khaled berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperketat kawalan dan pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan sebarang insiden keselamatan di selatan negara jiran itu tidak merebak ke Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan ATM sudah mengemukakan beberapa nama kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan sebagai fasilitator baharu proses damai di selatan Thailand.
Ia susulan tamatnya khidmat Datuk Mohd Rabin Basir sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia baru-baru ini.
Sabtu lalu, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula 10.15 malam hingga 5 pagi susulan lebih 50 insiden termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar.
Letupan kuat yang berlaku di Narathiwat turut menggegarkan kediaman serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Antara kawasan yang terkesan ialah Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang di Rantau Panjang.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Mohamed Khaled Nordin, selatan Thailand, Narathiwat, Malaysia-Thailand, ATM, sempadan, proses damai, Mohd Rabin Basir, Kementerian Pertahanan
