Ismail Sabri didakwa gagal isytihar RM14.7 juta, mata wang asing dan jongkong emas
Ismail Sabri didakwa gagal isytihar RM14.7 juta, mata wang asing dan jongkong emas
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta termasuk wang tunai RM14.7 juta, jutaan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta lima ketul jongkong emas, tahun lalu.
Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] bertarikh 7 Januari 2025.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, No 2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 7 Februari 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.
Ismail Sabri sebelum ini sepatutnya didakwa pada 7 Ogos lalu, namun prosiding ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.
Pada Khamis, Hakim Suzana menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memohon penangguhan berikutan Ismail Sabri dipercayai mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata.
Beliau turut dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan Ismail Sabri diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin yang terdiri daripada ahli keluarga tertuduh.
Hakim menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya pasport Ismail Sabri diserahkan kepada mahkamah selepas mendapati tiada bukti menunjukkan beliau berisiko melarikan diri.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Ismail Sabri Yaakob, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, SPRM, RM14.7 juta, jongkong emas, pengisytiharan harta, Ahli Parlimen Bera, Amer Hamzah Arshad
