‘Kerajaan tak mungkir janji’, PM umum lebih RM2.6 bilion untuk warga FELDA
‘Kerajaan tak mungkir janji’, PM umum lebih RM2.6 bilion untuk warga FELDA
MARAN: “Kerajaan MADANI tidak akan sesekali memungkiri janji.”
Itu jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan tujuh inisiatif bernilai lebih RM2.6 bilion sempena Sambutan Hari Peneroka dan ulang tahun ke-70 FELDA yang memberi manfaat kepada peneroka, generasi baharu serta petugas di seluruh negara.
Beliau berkata, antara pengumuman terbesar ialah penyediaan geran RM990 juta bagi membiayai bayaran balik pinjaman sukuk, termasuk penghapusan hutang peneroka, selain komitmen kerajaan menyalurkan lebih RM1 bilion kepada FELDA pada 2027 bagi memastikan agensi itu terus kukuh dan berdaya saing.
“Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip tatakelola yang baik dan akan terus menunaikan segala komitmen kepada FELDA serta seluruh warga peneroka,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada isu perumahan generasi baharu FELDA dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu legasi, termasuk cadangan pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 bagi membolehkan lebih daripada sebuah rumah dibina di atas satu lot kediaman.
Selain itu, kira-kira 8,000 unit rumah Dua Rumah Satu Lot (2R1L) yang siap dibina sebelum 31 Disember 2025 akan melalui proses pemutihan bagi membolehkan penyambungan bekalan air dan elektrik dilakukan dengan segera.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail apabila menyifatkan Pahang antara negeri yang paling pantas menyahut seruan kerajaan dalam usaha menyelesaikan isu perumahan generasi baharu FELDA, termasuk penyediaan utiliti dan urusan berkaitan tanah.

“Terima kasih Datuk Seri Wan Rosdy. Negeri Pahang antara yang paling cepat menyambut seruan kita bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai serta RM20 juta bagi melengkapkan Projek Sentuhan Kasih FELDA.
Dalam usaha meningkatkan pendapatan peneroka, kerajaan akan mengembalikan model asal penjualan minyak sawit mentah sebelum penyenaraian FGV yang dijangka memberi tambahan pendapatan sehingga RM42 juta kepada warga peneroka menerusi Koperasi Permodalan FELDA (KPF).
Turut diumumkan ialah peruntukan RM450 juta bagi membaik pulih dan membina rumah petugas FELDA, RM15.85 juta untuk memperkasa literasi digital di 317 rancangan FELDA, RM10 juta bagi membaik pulih sekolah di kawasan FELDA serta tambahan RM3 juta kepada Skuad MAYA FELDA bagi memperluas program saringan kesihatan komuniti.
Beliau berharap semua inisiatif itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kesejahteraan peneroka, generasi baharu dan petugas FELDA, sekali gus memastikan legasi pembangunan tanah rancangan itu terus kekal relevan untuk generasi akan datang.-SAHIH
