Sultan Pahang mahu petani Cameron Highlands kurangkan penggunaan racun
Sultan Pahang mahu petani Cameron Highlands kurangkan penggunaan racun
CAMERON HIGHLANDS: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu pengusaha tanaman rumah hijau (green house) di Cameron Highlands beralih kepada kaedah pertanian lebih selamat dan mesra alam tanpa penggunaan racun serangga serta bahan kimia berbahaya.
Paduka Baginda bertitah, pendekatan pertanian moden itu penting bagi memastikan hasil tanaman yang berkualiti tinggi, selamat dimakan serta mampu memelihara kelestarian alam sekitar di kawasan tanah tinggi berkenaan.
Menurut Baginda, kerajaan Belanda bersama beberapa syarikat dari negara itu turut berkongsi teknologi, input dan kaedah pertanian moden kepada petani di Cameron Highlands bagi meningkatkan mutu serta produktiviti hasil pertanian tempatan.
“Pendekatan pertanian moden yang diperkenalkan termasuk penggunaan teknologi pintar dan kaedah kawalan biologi mampu membantu petani mengurangkan kebergantungan terhadap racun serangga serta bahan kimia berbahaya.
“Usaha ini juga diyakini mampu meningkatkan keyakinan petani untuk beralih kepada sistem pertanian yang lebih mampan dan berteknologi tinggi,” titah Baginda.

Baginda turut menyarankan Kerajaan Pahang serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya terus mengkaji serta memperkenalkan kaedah baharu dalam sektor pertanian moden.
Menurut Baginda, langkah berkenaan penting bagi memastikan pengeluaran hasil tanaman yang lebih berkualiti, berdaya saing dan kompetitif untuk menembusi pasaran domestik serta antarabangsa.
Pada masa sama, Baginda berharap petani di negeri ini dapat memanfaatkan segala ilmu, teknologi dan kepakaran yang dikongsikan demi memastikan sektor pertanian di Cameron Highlands terus berkembang secara mampan, moden dan berdaya saing.-SAHIH
Gambar – Kesultanan Pahang
