16,468 koperasi catat aset RM186.75 bilion, ANGKASA terus perkasa ekonomi rakyat
16,468 koperasi catat aset RM186.75 bilion, ANGKASA terus perkasa ekonomi rakyat
KUALA LUMPUR : Gerakan koperasi negara terus membuktikan kejayaannya sebagai antara tunjang ekonomi rakyat apabila sebanyak 16,468 koperasi direkodkan di seluruh negara dengan keanggotaan 7.3 juta individu, selain memiliki aset bernilai RM186.75 bilion serta mencatat perolehan RM81.62 bilion pada tahun lalu.
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan peranan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan puncak koperasi negara yang terus memacu pembangunan koperasi dalam sektor strategik berimpak tinggi.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA akan terus memperkasa gerakan koperasi melalui penguasaan sektor keterjaminan makanan, teknologi digital, tenaga hijau, logistik, pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan dan pembangunan komuniti bagi menjadikan koperasi sebagai salah satu kuasa ekonomi rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan ANGKASA ke-55 yang berlangsung di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya, di sini.
Menurutnya, sambutan itu menjadi simbolik kepada perjalanan panjang ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi negara sejak ditubuhkan pada 12 Mei 1971 hasil resolusi Kongres Kerjasama Malaysia Kedua yang memuktamadkan penubuhan organisasi induk bagi menyatukan koperasi di seluruh negara.
“Penubuhan ANGKASA adalah simbol penyatuan gerakan koperasi negara yang dibina atas semangat kebersamaan, kesejahteraan dan pembangunan ekonomi rakyat secara inklusif serta mampan,” katanya.

Dr Abdul Fattah berkata, sejarah gerakan koperasi negara bermula sejak 1922 apabila Undang-Undang Koperasi pertama diperkenalkan di Tanah Melayu sebelum tertubuhnya ANGKASA sebagai institusi yang menyelaras serta memperkukuh ekosistem koperasi negara.
Katanya, pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap ANGKASA pada 1996 menerusi warta sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut memperkukuh kedudukan organisasi itu dalam aspek pembangunan dasar, pengukuhan jaringan antarabangsa serta pembangunan perniagaan koperasi.
Dalam masa sama, beliau berkata, ANGKASA terus mengorak langkah ke peringkat global melalui penglibatan aktif dalam pelbagai organisasi koperasi antarabangsa termasuk ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan International Cooperative Alliance (ICA).
Majlis sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Serantau International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP), Balasubramaniam Iyer yang melambangkan hubungan erat serta kerjasama berterusan antara ANGKASA dan gerakan koperasi antarabangsa dalam memperkasa pembangunan koperasi di rantau Asia Pasifik.
Sempena ulang tahun ke-55 itu juga, ANGKASA memperkenalkan Buku Nilai Teras (Core Value) sebagai panduan budaya kerja dan etika organisasi kepada seluruh warga kerjanya.

Buku itu mengangkat nilai Sadik, Amanah dan Telus sebagai tunjang integriti ANGKASA, selain nilai Fatanah, Adab, Integriti, Sinergi, Cemerlang, Lestari, Harmoni dan Inovasi sebagai pemacu kecemerlangan operasi.
Dr Abdul Fattah berkata, ANGKASA komited memperkukuh daya saing koperasi supaya institusi itu bukan sekadar pelengkap ekonomi negara, sebaliknya muncul sebagai pemain utama dalam membentuk ekonomi rakyat Malaysia.
“Ulang tahun ke-55 ini bukan sahaja medan refleksi terhadap pencapaian lalu, tetapi menjadi pemangkin untuk memperkukuh perpaduan, inovasi dan kelestarian gerakan koperasi negara demi memastikan ANGKASA terus relevan pada masa depan,” katanya.-SAHIH
