Hospital Maran dibatalkan , BOR Hospital Jengka cuma 57 peratus – Dzulkefly
Hospital Maran dibatalkan , BOR Hospital Jengka cuma 57 peratus – Dzulkefly
MARAN: Pembinaan Hospital Maran tidak diteruskan buat masa ini selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menilai keperluan semasa dan mendapati kadar penggunaan katil di hospital berhampiran masih belum mencapai tahap mendesak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan data kadar penggunaan katil atau bed occupancy rate (BOR) di hospital sekitar daerah berkenaan.
Menurutnya, BOR di Hospital Jengka ketika ini hanya sekitar 57 peratus, manakala BOR di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh pula pada tahap 63 peratus.
Beliau berkata, situasi itu menunjukkan penggunaan fasiliti hospital sedia ada masih belum berada pada tahap yang memerlukan pembinaan sebuah hospital baharu di setiap daerah.
“Daerah Maran sudah mempunyai akses kepada hospital berhampiran, justeru fokus kita adalah memperkasakan perkhidmatan kesihatan yang bermula dari klinik kesihatan,” katanya.
Dzulkefly berkata, KKM kini memberi tumpuan kepada pengukuhan Klinik Kesihatan Maran Type 4 termasuk memperkasakan perkhidmatan kecemasan, kemudahan pesakit dalam serta penyediaan Emergency Birthing Centre (EBC).
Menurutnya, klinik itu mempunyai kemudahan enam katil pesakit dalam membabitkan lelaki dan wanita, selain perkhidmatan kecemasan yang akan ditambah baik bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Katanya, walaupun jumlah kelahiran di Maran tidak tinggi iaitu kira-kira 12 kes setahun, perkhidmatan EBC tetap penting bagi memastikan penduduk mendapat rawatan segera tanpa perlu bergerak jauh.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, perancangan pembinaan Hospital Maran yang sebelum ini pernah dibangkitkan akan terus dinilai dari semasa ke semasa, namun buat masa ini KKM memberi keutamaan kepada pengukuhan penjagaan kesihatan primer.
“Pendekatan kita adalah memperkukuh primary healthcare termasuk pencegahan dan rawatan awal sebelum pesakit memerlukan rawatan hospital,” katanya.-SAHIH
#kw #HospitalMaran #KKM #DzulkeflyAhmad #KlinikKesihatanMaran #KesihatanPahang #BORHospital #HospitalJengka #HOSHAS #Temerloh
