Pahang kecewa pasir sungai tak boleh eksport, pusat diminta kembalikan hak negeri
Pahang kecewa pasir sungai tak boleh eksport, pusat diminta kembalikan hak negeri
KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kecewa apabila usaha menambahkan hasil negeri seperti mengeksport pasir sungai tidak diluluskan kerajaan persekutuan.
Baginda bertitah, Pahang memiliki sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia dan mendapan pasir yang banyak perlu dikeluarkan bagi memastikan pengaliran air sungai berjalan lancar serta mengurangkan risiko tertentu seperti banjir.
Menurut baginda, sebelum ini Pahang mampu meraih hasil negeri berpuluh-puluh juta ringgit melalui eksport pasir sungai ke luar negara, namun perkara itu tidak lagi dibenarkan kerajaan pusat ketika ini walaupun hasil tanah dan pasir adalah hak kerajaan negeri.
“Kerajaan pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan kerajaan Pahang ini dan lebih mengutamakan Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, baginda turut menegaskan kerajaan pusat perlu memberikan kuasa serta ruang yang lebih luas kepada kerajaan Pahang dalam pelaksanaan sesuatu projek, termasuk mengutamakan syarikat atau kontraktor tempatan.

“Saya mahu peluang seperti ini diberikan kepada anak-anak negeri Pahang untuk melaksanakan projek-projek. Memang benar pelantikan kontraktor boleh dibuat kepada mana-mana dari seluruh Malaysia.
“Tetapi, saya mahu keutamaan itu diberikan kepada syarikat dari Pahang yang sememangnya diakui berkelayakan dan kompeten,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan kerajaan pusat perlu meneliti semula perkara berkenaan dan mengembalikan hak negeri kepada Pahang.
“Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang mengambil tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda mahu Pahang mengekalkan rekod cemerlang kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memperkukuhkan prasarana serta kemudahan pelancongan.
Baginda turut menyentuh mengenai Cherating yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan pelancong dunia namun kini seolah-olah dilupakan.
“Kalau dulu, Cherating antara tempat tumpuan dunia, kenapa sekarang macam dilupakan? Justeru, buat kerja, lipat gandakan usaha,” titah baginda.-SAHIH
